Umat Islam hari ini berdepan dengan pelbagai ancaman daripada golongan tertentu yang memusuhi agama Islam. Serangan demi serangan dilancarkan terhadap umat Islam pada hari ini oleh golongan yang memusuhi agama Islam. Serangan yang dilakukan terhadap umat Islam bukan sahaja dari segi fizikal semata – mata, bahkan mereka juga turut melancarkan serangan terhadap pemikiran umat Islam. Apa yang membimbangkan adalah serangan yang dilakukan terhadap pemikiran ini bertujuan untuk merosakan akidah umat Islam. Pelbagai cara dan helah yang telah digunakan oleh golongan ini bagi merosakan serta memesongkan akidah suci umat Islam yang menjadi sumber kekuatan bagi orang – orang Islam. Golongan ini sedar, umat Islam yang tidak memiliki akidah yang mantap adalah lebih mudah untuk ditundukkan serta ditewaskan. Sejarah sememangnya telah membuktikan kejayaan musuh – musuh Islam dalam mengalahkan pemerintahan Islam melalui serangan berbentuk pemikiran yang menyesatkan daripada ajaran Islam yang sebenar. Tanpa akidah yang kukuh, iman akan menjadi lemah dan akhirnya melahirkan generasi Islam yang lemah fizikal, mental dan rohani.
Pokok persoalan terhadap masalah ini sebenarnya berpunca daripada sikap umat Islam itu sendiri. Kegagalan umat Islam dalam memahami serta menguasai ilmu agama menjadikan umat Islam mudah terdedah terhadap suatu fahaman yang boleh memesongkan serta merosakan akidah mereka. Selain itu, kalau dilihat keadaan semasa di Malaysia ini, kecenderungan segelintir pihak yang gemar membahaskan serta menimbulkan persoalan – persoalan ranting dalam agama yang telah dibincangkan oleh ulama – ulama muktabar turut menyumbang kepada permasalahan ini. Umat Islam lebih tertumpu kepada persoalan cabang agama sedangkan persoalan pokok agama di ketepikan. Atas dasar inilah sehingga ke hari ini umat Islam masih lagi lemah dan sering ditindas oleh golongan – golongan yang memusuhi Islam.
Kalau dahulunya, kita sering dicanangkan dengan pemikiran berbentuk sekularisme dan liberalisme. Fahaman sekular yang telah memisahkan antara agama dan kehidupan telah lama menjadi corakan dalam sistem kehidupan di negara ini. Fahaman liberalism yang berkembang atas nama kemajuan dan pembangunan telah melahirkan golongan yang bersifat terbuka secara berlebih – lebihan dalam soal agama. Golongan ini cenderung menghalalkan perkara yang haram serta mengharamkan perkara yang halal. Kedua – dua fahaman ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi kehidupan kebanyakkan masyarakat Islam di negara ini yang akhirnya menjejaskan kesucian agama Islam itu sendiri.
Lebih parah lagi, hari ini kita sekali lagi telah dilanda oleh fahaman baru yang lebih dikenali sebagai fahaman pluralisme yang bertopengkan atas nama toleransi dalam agama. Namun begitu, tujuan utama fahaman ini hanyalah semata – mata untuk merosakan akidah umat Islam melalui konsep equalisme dan relativisme dalam agama yang membawa maksud bahawasanya setiap agama itu adalah sama dan setiap agama itu terbatas dan tidak sempurna yakni boleh jadi benar ataupun tidak.
Pada 1 Mei 2010 yang lepas, seminar yang bertajuk “Wacana Fahaman Pluralisme Agama dan Implikasinya Terhadap Masyarakat Islam” telah diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Seminar ini bertujuan untuk mendedahkan bentuk serangan fahaman pluralisme ini dalam agama Islam agar umat Islam dapat mengenali serta mempertahankan diri mereka daripada fahaman yang boleh merosakan akidah umat Islam. Berikut adalah kertas kerja yang telah dibentangkan dalam seminar tersebut oleh beberapa tokoh ilmuwan seperti Dr. Anis Malik Thoha, Dr. Uthman El – Muhammady, Dr. Mohd Farid Mohd Shahran dan Dr. Syamsuddin Arif. Klik pada tajuk di bawah untuk membaca dengan lebih lanjut mengenai fahaman Pluralisme:
“Ciri – ciri Fahaman Pluralisme Agama” oleh Dr. Anis Malik Thoha
“Beberapa Isu Dalam Pluralisme Agama” oleh Dr. Uthman El – Muhammady
“Akidah Islam Dan Fahaman Pluralisme Agama” oleh Dr. Mohd Farid Mohd Shahran
“Interfaith Dialogue: ‘Kuda Troy’ Dari Vatican?” oleh Dr. Syamsuddin Arif
P/s: Kita akan lebih mudah dijangkiti fahaman ini sekiranya kita tidak mengenalinya. Saranan aku agar pengunjung – pengunjung dapat meluangkan sedikit masa untuk membaca kertas kerja yang telah disampaikan dalam seminar tersebut. Wallahua’lam.
0 comments to Dulu Sekularisme…Lepas tu Liberalisme…Sekarang nie Pluralisme…:
Post a Comment