Home | Posts RSS | Comments RSS | Login

Betapa…

Thursday, October 14, 2010

Betapa besarnya nilai wang kertas bernilai RM1 apabila dibawa ke masjid
untuk disedekahkan, tetapi betapa kecilnya kalau dibawa ke Mall untuk dibelanjakan!

Betapa lamanya melayani Allah S.W.T selama lima belas minit, namun
betapa singkatnya kalau kita melihat filem.

Betapa sulitnya untuk mencari kata-kata ketika berdoa (spontan), namun
betapa mudahnya kalau mengata atau mengumpat tanpa harus berfikir panjang-panjang.

Betapa asyiknya apabila pertandingan bola dipanjangkan waktunya, namun kita mengeluh ketika khutbah di masjid lebih lama sedikit daripada biasa.

Betapa sulitnya untuk membaca satu helai Al – Quran, tetapi betapa mudahnya membaca 100 halaman dari novel atau majalah yang laris.

Betapa beria-ia orang untuk duduk di depan dalam pertandingan atau konsert, namun lebih senang berada di saf paling belakang sewaktu menunaikan solat ketika di Masjid.

Betapa mudahnya membuat 40 tahun dosa demi memuaskan nafsu berahi semata – mata, namun alangkah sulitnya ketika menahan nafsu selama 30 hari ketika berpuasa.

Betapa sulitnya untuk menyediakan waktu untuk solat 5 waktu sehari semalam, namun betapa mudahnya menyesuaikan waktu dalam sekejap pada saat terakhir untuk event yang menyenangkan.

Betapa sulitnya untuk mempelajari erti yang terkandung di dalam Al – Quran, namun betapa mudahnya untuk mengulang-ulangi gosip yang sama kepada orang lain.

Betapa mudahnya kita mempercayai apa yang dikatakan oleh surat khabar, namun betapa kita meragui apa yang dikatakan oleh Kitab Suci Al – Quran.

Betapa takutnya kita apabila dipanggil Boss dan cepat-cepat menghadapnya, namun betapa kita berani dan lamanya untuk menghadap – Nya saat kumandang azan bergema.

Perkongsian daripada rakan _Deqma

Hubungan Malaysia – Indonesia

Friday, September 24, 2010

Akhir – akhir ini,kita boleh lihat keadaan hubungan Malaysia – Indonesia yang semakin buruk lantaran tercetus pelbagai peristiwa dan episode yang mengundang kemarahan bagi kedua – dua pihak. Bermula dengan isu tarian pendet melalui siri dokumentari Enigmatic Malaysia di Discovery Channel sehinggalah peristiwa penderaan amah warga Indonesia baru – baru ini. Apakah semua ini akan menyaksikan sejarah konfrontasi Malaysia dan Indonesia yang telah berlaku hampir setengah abad yang lalu berulang kembali??

Kehadiran blogger – blogger baik dari pihak Malaysia mahupun dari pihak Indonesia yang terlalu mengikut perasaan menambah buruk lagi ketengangan yang berlaku. Sikap tidak prihatin mereka ini yang terlalu gopoh membuat kesimpulan melalui cacian serta kutukan menambah lagi api kemarahan rakyat bagi kedua – dua pihak.

Benarkah sudah tidak ada jalan penyelesaian antara hubungan Malaysia – Indonesia?? Di manakah silap dan salahnya sehingga kita gagal dalam mencari jalan penyelesaian bagi kedua – dua negara ini??

Rakyat Malaysia dan Indonesia harus sedar, titik penyelesaian itu bukan tidak ada, cumanya yang menjadi penghalang bagi penyelesaian kemelut antara dua negara ini adalah diri kita sendiri. Kegagalan kita mencari titk persamaan telah mengundang kita mencari titik perbezaan. Semangat kebangsaan ataupun nasionalisme yang berkobar – kobar telah memadamkan semangat persaudaraan yang seharusnya menjadi pegangan kedua – dua negara yang terbina di atas kefahaman agama yang sama.

Mengapakah bangsa itu perlu diangkat melebihi kehendak dan keperluan agama. Bukankah Islam mengajar bahawasanya setiap muslim itu adalah bersaudara. Namun, kenapa masih ada di kalangan kita yang masih melihat bangsa itu adalah segala – galanya. Apakah kita lupa bagaimana bangsa Yahudi yang telah dilaknat oleh Allah disebabkan semangat kebangsaan mereka yang sanggup menolak ajaran Nabi Muhammad S.A.W hanyalah kerana Baginda berketurunan Arab. Apakah kita lupa bagaimana Allah S.W.T telah menangkat dan memuliakan bangsa Arab bila mana agama menjadi tonggak dalam kehidupan mereka.

Oleh itu, adalah menjadi harapan agar Rakyat Malaysia mahupun Rakyat Indonesia agar dapat melihat isu yang melanda kedua – dua negara ini sebagai suatu ujian daripada Allah S.W.T bagi menguji keimanan dan ketaqwaan hamba – hambanya dalam meletakkan agama itu mengatasi segala – galanya. Kita juga seharusnya beringat, semangat nasionalisme yang ditiup kedalam diri kita suatu masa dahulu hanyalah merupakan suatu kepalsuan dalam membantu musuh – musuh Islam bagi menjayakan agenda mereka untuk memecah – belahkan umat Islam di seluruh dunia. Sesungguhnya, musuh – musuh Islam itu sedar bahawasanya kekuatan umat Islam itu terletak pada kesatuan mereka sebagamana firman Allah S.W.T:

Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan kurniaan - Nya kamu menjadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana. Demikianlah, Allah menerangkan ayat - ayat - Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk.” [Ali Imran: 103]

Sedarlah, semangat nasionalisme yang sebenar – benarnya haruslah bertunjangkan agama Islam sebagai panduan agar perjuangan yang dilakukan tidak lari daripada perjuangan Islam yang sebenar. Semoga kita semua baik Rakyat Malaysia mahupun Rakyat Indonesia mendapat taufik dan hidayah – Nya dan terus – menerus berjuang menegakkan agama Islam sehingga keakhir hayat nanti, insyaAllah. Wallahua’lam

Kepada Allah S.W.T Jualah Kita Kembali

Monday, September 20, 2010

Pada 18 September 2010 bersamaan 9 Syawal 1431, Pak Saudara belah ayah aku (Ust. Mohd Abid B Hj Ahmad) telah kembali ke rahmatullah kira – kira jam 10 pagi. Pemergian allahyarham amat dirasai tatkala sumbangannya yang amat besar dan bermakna kepada kami sekeluarga. Kalau disingkap kepada sejarah kehidupan kami, allahyarham telah memainkan peranan dan tanggungjawab dalam mengajar dan mendidik kami sekeluarga (daripada yang sulung sampailah yang bongsu) dalam membaca Al – Quran. Tanpa ilmu yang dicurahkan, barangkali kami sekeluarga mungkin tergolong dalam masyarakat Melayu yang buta pada Al – Quran.

Malahan sumbangan dan pengorbanan beliau selama ini dalam mendidik dan mencurahkan ilmu dan bakti kepada anak – anak Melayu sewaktu bertugas di Sekolah Rendah Kebangsaan Dato’ Bandar Rasah ibarat lilin yang membakar diri bagi menerangi insan yang lain. Moga – moga, dengan ilmu yang dicurahkan kepada kami sekeluarga dan anak – anak muridnya dapat dimanfaatkan dengan sebaik – baiknya agar menjadi penerus kepada amalan allahyarham di akhirat kelak. Daripada Imam Muslim, Tirmizi, Nasai, Abu Dawud, Ahmad dan Al-Darimi telah meriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

“Apabila manusia mati, terputuslah daripadanya segala amalannya, kecuali tiga perkara: sedekah jariyah, ilmu yang dimanfaatkan, atau anak yang soleh yang berdo'a untuknya".

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang – orang yang soleh. Amin

Kongsi

Wednesday, August 11, 2010

Little bird in the sky,

The man look up,

The bird SHIT in the eyes,

The man doesn’t angry or cry,

The man said, “Thanks God the cow doesn’t fly”.

Karya daripada Prof. Dato’ Dr. Sheikh Omar Abd. Rahman

Rentetan daripada Program Kursus Ahsan: Bekerja Dengan Hati Dan Minda

Huraian:

Setiap musibah yang berlaku adalah ketentuan daripada Allah S.W.T

Setiap musibah yang berlaku seharusnya diterima dengan redha dan sabar serta mencari jalan penyelesaian yang terbaik

Setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi yang perlu kita syukuri (positive thinking)

Motivasi Al – Quran:

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma'aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." [Al – Baqarah: 286]

Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. [Al – Ankabuut: 2 – 3]

Wallahua'lam

Ramadhan Al - Mubarak

Monday, August 9, 2010

Ramadhan Kini Kembali

Menjadi tetamu istimewa bagi setiap umat Islam

Janganlah di persia - siakan Ramadhan kali ini dengan perbuatan dosa dan maksiat

Semoga Ramadhan kali ini menjadi permulaan dalam membaiki diri ke arah kebaikan

Semoga Ramadhan kali ini menjadi wadah dalam mempertingkatkan amalan kebaikan & mencegah perbuatan mungkar

Semoga Ramadhan kali ini menjadi latihan dalam melawan Hawa Nafsu

Semoga Ramadhan kali ini menjadi jalan pintas menemui Allah S.W.T di syurga kelak

Semoga Ramadhan kali ini membawa 1001 makna dalam kehidupan kita kelak

Amin ya Rabbal 'alamin

Kisah Si Sopak, Si Botak dan Si Buta

Saturday, July 24, 2010

PADA suatu masa dahulu, terdapat tiga bersaudara daripada keturunan Bani Israel. Mereka hidup dalam kemiskinan dan sentiasa dihina. Salah seorang daripada tiga bersaudara itu digelar Si Sopak.

Dia digelar begitu kerana kulitnya dijangkiti penyakit sopak. Saudaranya yang kedua, botak kepalanya. Maka digelarnya Si Botak. Yang ketiga digelar Si Buta, kerana matanya buta.

Pada suatu hari, Si Sopak berkata: "Alangkah bahagianya aku jika kulitku sehalus sutera dan aku pula menjadi kaya."

Allah mendengar kata-kata itu dan mengutuskan malaikat pergi ke rumah Si Sopak dalam bentuk manusia. Malaikat itu bertanya kepada Si Sopak: "Apakah yang engkau inginkan?"

"Kulit yang halus dan sihat daripada penyakit ini. Aku juga inginkan unta agar aku boleh menternaknya nanti," kata Si Sopak.

Malaikat pun menyapu sekujur tubuh Si Sopak. Kulit Si Sopak pun berubah menjadi halus. Selepas itu, malaikat pun menyerahkan seekor unta yang sedang bunting kepada Si Sopak.

Malaikat seterusnya pergi ke rumah Si Botak pula. Si Botak sedang menyesali nasib dirinya yang malang. Kepalanya yang botak kelihatan berkilat.

"Apakah yang engkau inginkan, wahai Botak," tanya malaikat.

"Saya ingin sembuh daripada penyakit botak ini. Biarlah rambut yang halus dan lebat tumbuh. Aku juga inginkan lembu untuk dipelihara," kata Si Botak malu-malu.

Malaikat pun mengusap lembut kepala Si Botak. Dengan izin Allah, tumbuhlah rambut yang lebat. Wajahnya pula menjadi kacak. Malaikat pun menyerahkan seekor lembu betina bunting kepada Si Botak. Si Botak pun memeliharanya sehingga beranak pinak.

Kemudian malaikat pergi pula ke rumah Si Buta. Seperti dua saudaranya yang lain, malaikat bertanya apa yang Si Buta inginkan.

"Aku inginkan mataku yang buta ini disembuhkan oleh Allah. Maka dapatlah aku melihat saudara-saudaraku," kata Si Buta.

Malaikat pun mengusap mata Si Buta. Si Buta pun membuka mata dan alangkah terperanjatnya dia apabila dia sudah dapat melihat. Malaikat pun bertanya kekayaan apakah yang Si Buta inginkan, dan apabila Si Buta meminta kambing, malaikat juga menyerahkan seekor kambing yang sihat dan sedang bunting kepadanya.

Beberapa tahun kemudian, terkenallah ketiga-tiga orang bersaudara itu kerana kekayaan masing-masing. Ternakan mereka memenuhi ladang ternakan masing-masing.

Mereka sekarang sudah digelar Tuan Sopak, Tuan Botak dan Tuan Buta. Kekayaan mereka tersebar di kalangan Bani Israel.

Allah kemudian mengutuskan malaikat untuk turun ke bumi dalam rupa seorang pengemis. Mula-mula sekali, malaikat pergi ke rumah Tuan Sopak.

"Saya ini musafir yang miskin, tuan," kata malaikat. "Tiada bekal untuk pulang. Demi Allah yang mengurniakan paras yang indah dan harta yang banyak, berilah unta seekor kepada saya untuk teruskan perjalanan."

Tuan Sopak jijik melihat musafir di depannya itu. Maka dia pun berkata: "Aku harus menyelesaikan banyak hutang. Aku tidak boleh memberi apa-apa kepada kau.

"Moga Allah mengembalikan keadaan tuan yang asal," balas malaikat yang menyerupai pengemis itu.

Selepas malaikat tersebut beredar, Si Sopak menjadi seperti dahulu. Kulitnya kembali dijangkiti sopak. Ternakan untanya semakin hari semakin susut kerana mati. Akhirnya habislah semua harta kekayaannya.

Malaikat pergi menemui Tuan Botak pula untuk meminta sedekah, Tuan Botak memberi alasan yang sama dengan Tuan Sopak. Maka malaikat pun berdoa agar Allah menjadikan Tuan Botak seperti dulu.

Kepalanya pun menjadi botak kembali. Lembu Si Botak juga mati seekor demi seekor. Maka Si Botak pun kembali miskin.

Malaikat menemui Tuan Buta pula. Lelaki itu sentiasa bersyukur kepada Allah. Apabila malaikat meminta agar diberikan seekor kambing, Tuan Buta pun berkata: "Dulu aku seorang buta. Allah telah menyembuhkan mataku. Oleh itu, kau ambil mana-mana kambing yang engkau sukai untuk dibuat bekalmu."

Mendengar jawapan itu, malaikat pun berkata: "Jagalah hartamu baik-baik. Sebenarnya Allah hanya ingin mengujimu. Allah telah meredaimu, sedangkan saudara-saudaramu telah mendapat kemurkaan."

Si Buta pun menadah tangan lalu mengucapkan syukur

Sumber: Utusan Malaysia

Ulasan:

Walau pun kisah ini dah banyak kali diceritakan kepada masyarakat, namun, tidak ramai yang mengambil iktibar daripada “message” yang hendak disampaikan melalui kisah ini termasuklah diri sendiri. Sesungguhnya “bersyukur” itulah tanda – tanda seseorang itu beriman dan bertaqwa kepada Sang Pencipta yang Maha Esa dan Maha Berkuasa. Nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada hamba – Nya seharusnya di terima dengan nada sebagai seorang hamba, barulah nikmat yang diterima mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah S.W.T. Wallahua’lam.

Berbuat Baiklah Kepada Kedua Ibu Bapa

Sunday, July 18, 2010

Dua tiga hari ini, dada akhbar telah dikecohkan dengan isu bapa menyaman anak – anak mereka. Situasi ini menunjukkan keadaan yang semakin meruncing dalam institusi kekeluargaan di kalangan masyarakat Malaysia khususnya yang beragama Islam. Isu ini turut menggambarkan permasalahan akhlak di kalangan masyarakat Islam yang semakin meningkat dan tidak terkawal lagi.

Mereka yang bergelar ibu bapa sememangnya telah dianugerahi oleh Allah S.W.T dengan nikmat naluri kasih saying yang tinggi. Oleh itu, adalah menjadi fitrah bagi seorang ibu mahupun bapa menyayangi anak – anak mereka dengan sepenuh hati. Maka, apabila timbul cerita – cerita sedemikian rupa, telah memberi gambaran dan petanda awal kepada kita akan sesuatu perkara . Jarang kita akan mendengar seorang ayah sanggup melihat kesengsaraan anak – anaknya sama ada secara sengaja ataupun tidak (“unless” mereka yang tidak berpegang kepada agama Islam).

Kalau di baca dan di teliti pada kesemua cerita yang dipaparkan dalam akhbar berkenaan, tindakan bapa menyaman anak di dalam akhbar hanyalah berpunca daripada kezaliman yang telah dilakukan oleh anak – anak mereka. Faktor ini telah menjadi punca yang mendorong isu ini timbul muktakhir ini. Hari demi hari, semakin ramailah “Si Tanggang” versi moden yang telah muncul dan melakukan penderhakaan dalam bentuk yang berbagai - bagai. Ibu bapa hanyalah menjadi alatan untuk mereka mencapai kesenangan.

Kisah – kisah tragedi yang menimpa warga emas ini semakin melarat sehingga tidak terjangkau pemikiran manusia yang waras. Ibu bapa diperlakukan ibarat haiwan yang tidak berperasaan. Sesungguhnya, ramai anak – anak dewasa ini telah jauh melupakan perintah Allah S.W.T yang berulang – ulang kali di sebut di dalam Al – Quran. Firman Allah S.W.T dalam Al – Quran:

Surah Al – Baqarah, ayat 83 yang bermaksud;

Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil janji dari Bani Israil (yaitu): Janganlah kamu menyembah selain Allah, dan berbuat kebaikanlah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia, dirikanlah shalat dan tunaikanlah zakat. Kemudian kamu tidak memenuhi janji itu, kecuali sebahagian kecil daripada kamu, dan kamu selalu berpaling. [Al – Baqarah: 83]

Surah An – Nisaa’, ayat 36 yang bermaksud;

Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, dan teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri. [An – Nisaa’: 36]

Surah Al – An’aam, ayat 151 yang bermaksud;

Katakanlah: "Marilah kubacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu yaitu: janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua orang ibu bapa, dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu karena takut kemiskinan, Kami akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka, dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang nampak di antaranya mahupun yang tersembunyi, dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar." Demikian itu yang diperintahkan kepadamu supaya kamu memahami(nya). [Al – An’aam: 151]

Surah Luqman, ayat 14 yang bermaksud;

Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu- bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah- tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu. [Luqman: 14]

Surah Al – Israa’, ayat 23 yang bermaksud;

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil." [Al – Israa’: 23 – 24]

Kesemua perintah Allah S.W.T di dalam ayat – ayat Al –Quran ini telah menunjukkan kepada kita akan kewajipan melakukan kebaikkan kepada kedua – dua ibu bapa kita. Adalah tidak wajar bagi seseorang anak itu melukakan hati kedua – dua ibu bapa mereka dengan sengaja. Sikap kasih – sayang dan hormat – menghormati perlulah di pupuk di dalam sanubari agar sentiasa patuh melaksanakan perintah Allah S.W.T. Sesungguhnya syurga itu adalah milik Allah S.W.T dan tiadalah cara lain untuk kita memasuki ke dalam syurga melainkan dengan mentaati perintah – Nya agar sentiasa dirahmati Allah S.W.T.

p/s: Pesanan untuk diri sendiri dan juga rakan – rakan yang dikasihi sekalian semoga sama – sama mendapat manfaat dan keredhaan Allah S.W.T.

Dan semoga Allah S.W.T merahmati dan mengkasihani kedua – dua ibu bapaku sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil, Amin…..

Kesibukkan

Monday, July 12, 2010

Dunia pekerjaan banyak menyebabakan aku terleka dan lupa dengan perkara – perkara yang berlaku disekeliling.Kesibukkan yang dilalui selama 2 minggu yang sangat memenatkan telah menyebabkan aku kurang menigikuti perkembangan isu – isu semasa. Fokus lebih tertumpu dalam menyesuaikan diri dengan alam pekerjaan serta pencarian bilik sewa di sekitar area Kuala Lumpur. Sedar tak sedar, Piala Dunia Bola Sepak sudah pun berakhir yang telah menyaksikan Belanda tewas dalam pertemuan dengan Sepanyol.

Lebih teruk lagi, sedar tak sedar bulan Rejab sudah pun hampir meninggalkan aku. Walaupun masih sempat menghadiri dan mendengar beberapa ceramah dan tazkirah berkenaan penghayatan peristiwa “Israk dan Mikraj”, pemergian bulan Rejab kali ini merupakan satu kerugian dalam diri bila mana kurangnya penghayatan yang diambil pada kesempatan dalam bulan yang mulia ini.Mungkin ini adalah suatu pengajaran awal dalam mengenal dunia pekerjaan.

Pertamanya, perlu ada pembahagian masa antara perkara dunia dan perkara akhirat. Dalam kesibukkan mengejar kejayaan duniawi, kejayaan ukhrawi juga tidak boleh dilupakan. Kedua – duanya perlu seimbang agar kejayaan dapat di kecapi bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat. Yang kedua, walaubagaimana sibuk sekali pun dengan pekerjaan, kita perlulah sentiasa beringat bahawasanya pekerjaan yang dilakukan semuanya adalah kerana Allah S.W.T. Maka, pekerjaaan yang dilakukan kerana Allah S.W.T tidak seharusnya menjauhkan hubungan hamba dengan Pencipta.Sebaik – baiknya, pekerjaan yang dilakukan lebih mengingatkan diri kita kepada Allah S.W.T.

Yang terakhir, Allah S.W.T tidak akan membebankan hamba – hamba – Nya dengan suatu amanah dan tanggungjawab yang tidak mampu dipikul oleh mereka. Semua pemberian Allah S.W.T adalah semata – mata berdasarkan kemampuan masing – masing. Maka, alasan bahawasanya ketidak ada masa untuk menghayati kemulian bulan Rejab kali ini hanyalah kerana kelalaian serta kelemahan diri sendiri yang sentiasa leka dibuai arus keseronokkan dunia mahupun tipu daya syaitan. Wallahua’lam.

Hentikanlah Budaya Meniru Barat

Friday, June 18, 2010

Baru – baru ini di Malaysia heboh diperkatakan mengenai isu berkaitan ‘First Lady’ yang mengaitkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansur. Malahan dewan parlimen turut tidak terlepas dalam membahaskan isu remeh yang tidak sepatutnya timbul sekiranya seseorang itu memahami dan menghormati perlembagaan yang telah sedia ada (sila baca ulasan Prof. Dr. Aziz Bari).

Isu – isu begini sebenarnya timbul bila kita terlalu suka meniru apa yang dibawa oleh Barat itu. Pendek kata, Dunia Barat seolah – olah telah menjadi kiblat dalam hidup kita sebagai umat Islam. Tengok sahajalah keadaan muda – mudi di Malaysia khursusnya yang berbangsa Melayu, apa sahaja yang dibawa oleh Barat pasti disanjung sehingga hilang segala jati diri kita yang dibina berdasarkan agama dan adat Melayu.

Dalam dunia hiburan sebagai contoh, kita boleh melihat bagaimana remaja Islam terikut – ikut dengan rentak permainan Barat sehingga sanggup memuja dan menjadikan artis – artis sebagai idola dan contoh teladan dalam kehidupan seharian. Rasullah S.A.W yang menjadi contoh teladan terbaik sepanjang zaman di ketepikan. Nasihat ulama – ulama selalu sahaja diperlekehkan sehingga menjejaskan institusi agama di negara ini. Bertitik – tolak kepada budaya inilah, pada hari ini kita boleh melihat bagaimana rapuhnya institusi kekeluargaan orang – orang Melayu. Apa tidaknya sekiranya yang dijadikan contoh teladan juga adalah serapuh kaca, sekali di ketuk maka pecah berderailah ia jatuh ke tanah.

Orang – orang Melayu seharusnya sedar bahawasanya apa yang dibawa oleh Barat itu tidak semuanya benar dan boleh dijadikan contoh. Pemikiran yang kritis berpaksikan ajaran agama Islam perlulah digunakan dalam menilai setiap perkara yang dibawa oleh Barat. Mana – mana perkara yang baik seharusnya dijadikan teladan dan mana – mana yang buruk seharusnya dijadikan sempadan. Renungkanlah kata – kata ini, “Umat Islam Seharusnya Belajar daripada Barat dan Bukannya Meniru Barat”. Wallahua’lam.

Dilemma Melayu: Budaya Hendonisme

Wednesday, June 16, 2010

BUDAYA HENDONISME – Dari segi ‘pronunciation’ seakan – akan berkaitan dengan agama hindu tapi realitinya budaya ini diamalkan secara hebatnya oleh orang – orang Melayu yang rata – ratanya beragama Islam (walaupun masih ramai yang Islam hanya pada nama). Apakah yang dimaksudkan dengan budaya hendonisme?? Walaupun perkataan hendonisme hampir – hampir dengan perkataan Hindustan (aku pakai hentam jea, x tau la betul atau tidak), budaya hendonisme ini bukanlah sesuatu yang ada kena – mengena dengan agama hindu. Hendonisme menurut kamus dewan membawa maksud pegangan atau panduan hidup yang mementingkan keseronokkan atau kesenangan hidup. Justeru itu, secara ringkas dan mudahnya budaya hendonisme boleh disifatkan sebagi suatu budaya yang mementingkan keseronokkan (material) serta bersifat keterlaluan dalam mengejar hiburan yang bersifat duniawi semata – mata.

Hiburan adalah fitrah dalam diri manusia. Naluri manusia yang cenderung terhadap hiburan adalah sesuatu yang biasa dan normal. Menghubungkaitkan Bangsa Melayu dengan hiburan sememangnya tidak membawa kepada apa – apa kesalahan. Namun begitu, yang menjadi permasalahan disini apabila sikap orang Melayu itu sendiri yang gemar ‘berlebih – lebihan’ dalam mengejar hiburan. Hiburan yang tidak terkawal serta bersifat duniawi semata – mata akhirnya bukan sahaja telah membawa mereka kepada kancah kemaksiatan malahan juga telah membawa kepada pelbagai masalah yang lain seperti masalah keruntuhan akhlak, gejala sosial yang semakin teruk serta banyak lagi permasalahan yang timbul kesan daripada budaya hendonisme ini.

Di kaca TV, program – program yang bersifat hiburan semata – mata menjadi sajian utama masyarakat Malaysia. Rancangan realiti seperti mentor, akademi fantasia, one in millions, Malaysian Idol dan banyak lagi telah menjadi kewajipan bagi sesetengah rakyat Malaysia untuk ditontoni. Lebih memalukan, program – program ini lebih banyak disertai dan diikuti oleh masyarakat Melayu yang rata – ratanya beragama Islam. Daripada peserta hinggalah kepada penyokong dan penonton, kebanyakkan (boleh kata semua) disertai oleh masyarakat Melayu yang rata – ratanya beragama Islam. Kurangnya penglibatan masyarakat Cina dan India dalam program – program seperti ini menunjukkan ‘keIslamikan’ mereka secara tidak lansung.

Hasil kesan buruk yang dibawa oleh budaya ini, kita acapkali mendengar nasihat dan pandangan daripada mufti – mufti mahupun ustaz dan ustazah daripada jabatan agama di Malaysia yang melarang serta memperingatkan kita supaya tidak terjerumus kedalam dunia hiburan yang melampau –lampau. Malangnya, ‘respond’ yang kurang enak sering kedengaran daripada masyarakat Melayu itu sendiri apabila kehendak nafsu mereka dihalang. Akhirnya, kejahilan serta kebodohan diri sendiri dalam memahami agama Islam membawa penafsiran yang tidak benar terhadap ajaran Islam seperti kolot, kuno, jumud dan ketinggalan zaman.

Islam adalah agama fitrah bagi semua manusia. Sesuai sebagai agama fitrah, Islam tidak pernah melarang penganutnya daripada berhibur. Oleh itu, adalah menjadi kewajipan kita sebagai penganut agama Islam dalam menjaga batas – batas syariat sewaktu berhibur. Janganlah kita bersikap seperti kata pepatah Melayu “ sudah diberi betis hendakan peha pula”. Islam sememangnya membenarkan penganutnya untuk berhibur. Namun begitu, hiburan yang dilakukan haruslah selari dengan syariat dan perintah Allah serta tidak menjerumuskan diri kita terhadap kemaksiatan serta kelalaian kepada Allah S.W.T.

Contoh hiburan yang ditonjolkan oleh Kerajaan PAS Kelantan (Konsert Jom Heboh yang telah disaring dengan garis panduan yang sesuai dengan syariat Islam) tidak lama dahulu menjadi bukti tiadanya larangan dalam Islam terhadap hiburan, yang ada hanyalah adalah garis panduan agar manusia tidak ‘berlebih – lebihan’ serta bersikap ‘melampau – lampau’ dalam mencari hiburan sehingga menanggalkan imej Islam yang dibawa. Firman Allah S.W.T:

“Wahai anak cucu Adam! Pakailah pakaianmu yang bagus pada setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang berlebih – lebihan.” [Al – Araf: 31]

Firman Allah S.W.T:

“Wahai orang – orang yang beriman! Janganlah kamu mengharamkan apa yang baik yang telah dihalalkan Allah kepadamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” [Al – Maidah: 87]

Wallahua’lam.

Keperluan Perpaduan Dalam Masyarakat Islam

Tuesday, June 8, 2010

Kegagalan umat Islam di seluruh dunia dalam mengenal pasti kelemahan diri sendiri adalah punca berlakunya penindasan terhadap umat Islam secara berterusan oleh musuh – musuh Islam baik di Palestin mahupun di negara – negara lain seperti Bosnia, Chechnya dan Pattani. Berita serangan Zionis ke atas Kapal Mavi Marmara yang membawa segerombolan aktivis dan sukarelawan daripada pelbagai negara dalam misi bantuan keamanan ke atas rakyat Palestin baru – baru ini bukanlah suatu berita yang asing untuk didengari. Kalau disingkap kembali sejarah - sejarah umat Islam bermula daripada zaman kemerdekaan hingga ke hari ini, pelbagai peristiwa kekejaman terhadap umat Islam telah berlaku. Namun begitu, hasil daripada peristiwa dan perbuatan kejam yang berlaku ke atas orang – orang Islam ini hanyalah mampu dilawan dengan kencaman dan tekanan oleh negara – negara Islam.

Persoalannya adalah sampai bilakah kezaliman yang berlaku ke atas umat Islam hari ini mesti dilawan hanya dengan melalui kencaman dan tekanan??? Umat Islam perlu sedar, sudah sampai masanya untuk umat Islam bangkit dalam memperkasakan diri mereka sendiri demi memartabatkan agama Islam sebagai agama yang diredhai Allah S.W.T. Umat Islam perlu mengenal pasti akan punca kelemahan diri mereka sendiri yang telah membuka ruang musuh – musuh Islam dalam melakukan penindasan dan kezaliman terhadap umat Islam sendiri. Justifikasi terhadap kelemahan ini adalah penting bagi membolehkan proses pembaik pulihan berlaku ke atas umat Islam.

Belajar dari Sejarah

Perpaduan adalah perkara pokok yang perlu di beri perhatian dalam memperkasa umat Islam hari ini. Perselisihan, pergaduhan dan permusuhan yang berlaku dikalangan umat Islam perlu diselesaikan dan dihindari daripada terus menerus melemahkan umat Islam. Kalau di lihat kepada sejarah Tanah Melayu, proses penjajahan hanya berlaku bila mana hilangnya perpaduan dalam sesuatu kerajaan itu. Teori “divide and conquer” yang membawa maksud pecah dan perintah telah membuktikan kejayaan pihak penjajah seperti Potugis, Belanda dan British dalam menakluki sesuatu bangsa dan kerajaan suatu masa dahulu.

Kegagalan Kerajaan Melayu Johor dan Aceh dalam menakluki semula Melaka daripada Portugis adalah peristiwa yang perlu dijadikan iktibar bahawasanya perpecahan hanya membawa kepada kerugian. Walaupun mempunyai pegangan agama yang sama, namun begitu, ketidak bersatunya antara Kerajaan Johor dan Kerajaan Aceh telah membawa kepada perang tiga segi (Aceh – Johor – Portugis) yang akhirnya mengagalkan usaha kedua – dua kerajaan dalam merampas kembali Melaka daripada pihak Portugis. Usaha merampas semula Melaka pasti akan lebih berjaya sekiranya Kerajaan Johor dan Aceh sama – sama bersatu menentang pihak Portugis. Sikap perpecahan sebeginilah yang perlu dielakkan oleh pemimpin dan masyarakat negara – negara Islam dalam menghadapi kezaliman dan penindasan terhadap umat Islam oleh musuh – musuh Islam.

Kegagalan perjuangan tokoh – tokoh penentang penjajah seperti Dol Said, Tok Janggut, Hj. Abdul Rahman Limbong dan Mat Kilau yang bersifat setempat telah membuktikan kepentingan perpaduan. Bayangkan sekiranya penentangan yang berlaku adalah bersama, kebarangkalian untuk tokoh – tokoh perjuangan Tanah Melayu ini untuk berjaya adalah lebih tinggi. Kejayaan orang - orang Melayu dalam menentang penubuhan Gagasan Malayan Union suatu masa dahulu telah membuktikan keperluan perpaduan dalam masyarakat Islam di seluruh dunia. Melalui kerjasama dan kesatuan yang mantap diantara orang - orang Melayu pada ketika itu telah berjaya mendesak Kerajaan British membubarkan Malayan Union yang disifatkan sebagai suatu ancaman terhadap agama Islam dan sistem beraja di Tanah Melayu.

Perpecahan Membawa Kerugian

Perpecahan yang melanda di kebanyakkan negara – negara Islam pada hari ini telah melemahkan umat Islam yang suatu masa dahulu adalah suatu umat yang mempunyai tamadun yang hebat seperti Kerajaan Abbasiyah, Umaiyah dan Uthmaniyah. Kemusnahan dan kejatuhan negara Islam seperti Iraq dan Afghanistan adalah berpunca daripada perpecahan di kalangan umat Islam di negara tersebut. Kegagalan pertubuhan negara – negara Islam seperti OIC(Organization of the Islamic Conference) dan juga LIga Negara – negara Arab dalam menangani krisis dan isu yang melanda negara Palestin sejak sekian lamanya membuktikan ketidaksatuan antara negara – negara Islam. Walaupun dari segi ekonomi kebanyakkan negara – negara pengeluar minyak adalah di kalangan negara Islam, namun begitu kegagalan dalam mencapai kesepakatan bagi melakukan sekatan terhadap negara – negara yang menzalimi negara yang lain membuktikan ketidaksatuan hati antara negara – negara Islam yang akhirnya membawa kepada penindasan terhadap umat Islam di seluruh dunia secara berterusan.

Umat Islam seharusnya menjadikan Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W sebagai contoh teladan yang baik. Kejayaan Baginda S.A.W dalam menyatukan Bangsa Arab yang bersifat asabiyah melalui ajaran Islam yang mantap telah melahirkan bangsa yang hebat dan kuat dalam sejarah tamadun dunia. Kehebatan Bangsa Arab yang bersatu di bawah panji Islam telah mengangkat bangsa tersebut mengatasi Bangsa Rom dan Parsi yang terlebih dahulu muncul sebelum kedatangan Islam. Hubungan antara umat Islam yang terjalin diatas nama persaudaraan seharusnya mampu melahirkan umat yang bersatu – padu dan bukannya umat yang berpecah belah. Wallahua’lam.

P/s: Walaupun perpecahan bukanlah satu –satunya faktor yang menjadi punca kelemahan umat Islam di seluruh dunia pada hari ini, namun begitu isu berkaitan perpaduan di kalangan umat Islam adalah antara isu yang perlu diambil perhatian dan dipelihara agar kekuatan umat Islam dapat dipertingkatkan seterusnya dapat membantu masyarakat Islam dalam menghadapi cabaran musuh – musuh Islam.

Imej Yang Perlu Dijaga

Sunday, May 16, 2010

Sudah genap seminggu hari ini aku berada di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan bagi menyempurnakan praktikal yang masih berbaki 3 minggu lagi sebelum boleh menduduki peperiksaan Lembaga Jururawat Malaysia bagi mendapatkan lesen sebelum boleh mula bekerja sebagai seorang jururawat. Walau bagaimanapun, posting blog kali ini bukanlah bertujuan untuk menceritakan pengalaman praktikal di HUSM, tetapi cuma hendak berkongsi kata – kata daripada Penolong Pengarah HUSM sewaktu sesi orientasi yang mengetuk minda aku untuk berfikir. Banyak perkara yang diperkatakan oleh Penolong Pengarah HUSM sewaktu sesi orientasi tersebut, namun begitu apa yang ingin di kongsikan disini adalah berkenaan isu menjaga imej. Walaupun perbincangan pada sesi tersebut adalah berkisarkan kepada penjaga imej dari segi nama baik universiti dan nama baik jurusan kejururawat, isu yang mengetuk minda aku ketika perkataan itu lebih berkisarkan kepada soal menjaga imej agama.

Imej Islam hari ini dilihat semakin tercalar dengan pelbagai serangan yang dilakukan oleh pihak Barat dalam usaha mereka memburuk - burukan Imej Islam sebagai agama yang suci. Antaranya ialah dengan melabelkan Islam sebagai agama yang menaja “terrorisme” yang berpaksikan kepada konsep keganasan. Malahan, ahli – ahli sejarah dan orientalis Barat turut melabelkan agama Islam sebuah agama peperangan yang disebarkan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W melalui mata pedang semata – mata tanpa sebarang pemahaman yang adil terhadap peristiwa – peristiwa peperangan yang muncul di zaman Baginda S.A.W. Malahan golongan ini turut juga memfitnah agama Islam sebagai sebuah agama yang melakukan penindasan terhadap kaum wanita sehingga timbul golongan – golongan Liberal seperti Sister in Islam (SIS) yang kononya memperjuangkan hak – hak kaum wanita yang ditindas oleh agama Islam. Semua gambaran yang diberikan oleh media massa barat ini bertujuan untuk melahirkan perasaan takut dan benci pada agama Islam yang di panggil “Islamophobia” yang akhirnya menjauhkan masyarakat dunia daripada mendekati agama Islam.

Lebih malang lagi, hari ini kita boleh melihat bagaimana imej agama Islam itu dikotori oleh sesetengah penganut agama Islam itu sendiri yang gagal menunjukkan serta menerapkan amalan – amalan yang berpandukan agama Islam yang sebenar. Di negara Malaysia khususnya, amalan - amalan seperti pergaduhan, penipuan, rasuah, pecah amanah dan sebagainya mewarnai kehidupan masyarakat Islam khususnya orang – orang Melayu. Malahan isu sebegini menjadi perkara biasa di kalangan pemimpin – pemimpin negara. Begitu juga dengan masalah sosial yang melanda di negara ini juga tidak kurang hebatnya berlaku di kalangan masyarakat Islam khususnya orang Melayu. Masalah rempit, dadah, bohsia, zina, buang anak dan sebagainya semuanya adalah didominasikan oleh orang – orang Melayu. Apa yang mengecewakan adalah, sikap tidak bertanggungjawab dan amanah sesetengah individu ini akhirnya merosakan imej agama Islam yang suci.

Imej buruk yang ditonjolkan oleh masyarakat Islam kepada penganut lain menjadikan kesucian agama Islam itu tercalar. Masyarakat yang bukan beragama Islam sering memandang serong kepada umat Islam dan juga agama Islam itu sendiri. Malahan, masalah – masalah ini telah membuka ruang dikalangan musuh – musuh Islam dalam rancangan mereka untuk memburuk – burukan sertan menjatuhkan kesucian agama Islam. Kalau dikaji semula, tamadun Islam menjadi semakin lemah bukan hanya disebabkan oleh golonagn yang memusuhi Islam akan tetapi juga disebabkan oleh umat Islam itu sendiri. Kelemahan umat Islam hari ini bukanlah disebabkan oleh ajaran agama Islam itu tetapi lebih kepada masyarakat Islam itu sendiri yang gagal dalam memartabatkan agama panutan mereka.

Islam itu adalah agama sejahtera dan agama damai. Umat yang mengikuti ajaran Islam yang sebenar mempunyai kualiti akhlak dan etika yang tinggi. Namun begitu, Islam sebagai agama yang baik kadang – kadang tercermin dalam ikatan bangsa dan budaya yang merosakan. Maruah bangsa, adat dan budaya yang sering diangkat melebihi martabat agama menjadi faktor perosak dalam perjuangan mengangkat agama Islam. Islam seharusnya menjadi matlamat hidup setiap manusia. Bangsa, budaya dan adat perlulah dicorak mengikut ajaran yang telah ditetapkan oleh Islam dan bukannya agama Islam itu yang perlu dicorakan mengikut bangsa, budaya dan adat. Perlulah menjadi kesedaran dalam diri kita bahawasanya tidaklah sesuatu bangsa itu diangakat menjadi mulia oleh Allah S..W.T melainkan bangsa yang menjadikan agama Islam sebagai panutan dan ikutan dengan sebenar – benarnya. Wallahua’lam.

Thursday, October 14, 2010

Betapa…

Posted by pSp at 7:19 AM 2 comments

Continue Reading

Friday, September 24, 2010

Hubungan Malaysia – Indonesia

Posted by pSp at 8:40 AM 0 comments

Posted by pSp at 10:59 AM 1 comments

Pada 18 September 2010 bersamaan 9 Syawal 1431, Pak Saudara belah ayah aku (Ust. Mohd Abid B Hj Ahmad) telah kembali ke rahmatullah kira – kira jam 10 pagi. Pemergian allahyarham amat dirasai tatkala sumbangannya yang amat besar dan bermakna kepada kami sekeluarga. Kalau disingkap kepada sejarah kehidupan kami, allahyarham telah memainkan peranan dan tanggungjawab dalam mengajar dan mendidik kami sekeluarga (daripada yang sulung sampailah yang bongsu) dalam membaca Al – Quran. Tanpa ilmu yang dicurahkan, barangkali kami sekeluarga mungkin tergolong dalam masyarakat Melayu yang buta pada Al – Quran.

Malahan sumbangan dan pengorbanan beliau selama ini dalam mendidik dan mencurahkan ilmu dan bakti kepada anak – anak Melayu sewaktu bertugas di Sekolah Rendah Kebangsaan Dato’ Bandar Rasah ibarat lilin yang membakar diri bagi menerangi insan yang lain. Moga – moga, dengan ilmu yang dicurahkan kepada kami sekeluarga dan anak – anak muridnya dapat dimanfaatkan dengan sebaik – baiknya agar menjadi penerus kepada amalan allahyarham di akhirat kelak. Daripada Imam Muslim, Tirmizi, Nasai, Abu Dawud, Ahmad dan Al-Darimi telah meriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

“Apabila manusia mati, terputuslah daripadanya segala amalannya, kecuali tiga perkara: sedekah jariyah, ilmu yang dimanfaatkan, atau anak yang soleh yang berdo'a untuknya".

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang – orang yang soleh. Amin

Continue Reading

Wednesday, August 11, 2010

Kongsi

Posted by pSp at 9:57 AM 0 comments

Little bird in the sky,

The man look up,

The bird SHIT in the eyes,

The man doesn’t angry or cry,

The man said, “Thanks God the cow doesn’t fly”.

Karya daripada Prof. Dato’ Dr. Sheikh Omar Abd. Rahman

Rentetan daripada Program Kursus Ahsan: Bekerja Dengan Hati Dan Minda

Huraian:

Setiap musibah yang berlaku adalah ketentuan daripada Allah S.W.T

Setiap musibah yang berlaku seharusnya diterima dengan redha dan sabar serta mencari jalan penyelesaian yang terbaik

Setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi yang perlu kita syukuri (positive thinking)

Motivasi Al – Quran:

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma'aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." [Al – Baqarah: 286]

Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. [Al – Ankabuut: 2 – 3]

Wallahua'lam

Continue Reading

Monday, August 9, 2010

Ramadhan Al - Mubarak

Posted by pSp at 11:22 PM 1 comments

Ramadhan Kini Kembali

Menjadi tetamu istimewa bagi setiap umat Islam

Janganlah di persia - siakan Ramadhan kali ini dengan perbuatan dosa dan maksiat

Semoga Ramadhan kali ini menjadi permulaan dalam membaiki diri ke arah kebaikan

Semoga Ramadhan kali ini menjadi wadah dalam mempertingkatkan amalan kebaikan & mencegah perbuatan mungkar

Semoga Ramadhan kali ini menjadi latihan dalam melawan Hawa Nafsu

Semoga Ramadhan kali ini menjadi jalan pintas menemui Allah S.W.T di syurga kelak

Semoga Ramadhan kali ini membawa 1001 makna dalam kehidupan kita kelak

Amin ya Rabbal 'alamin
Continue Reading

Saturday, July 24, 2010

Kisah Si Sopak, Si Botak dan Si Buta

Posted by pSp at 6:52 PM 1 comments

PADA suatu masa dahulu, terdapat tiga bersaudara daripada keturunan Bani Israel. Mereka hidup dalam kemiskinan dan sentiasa dihina. Salah seorang daripada tiga bersaudara itu digelar Si Sopak.

Dia digelar begitu kerana kulitnya dijangkiti penyakit sopak. Saudaranya yang kedua, botak kepalanya. Maka digelarnya Si Botak. Yang ketiga digelar Si Buta, kerana matanya buta.

Pada suatu hari, Si Sopak berkata: "Alangkah bahagianya aku jika kulitku sehalus sutera dan aku pula menjadi kaya."

Allah mendengar kata-kata itu dan mengutuskan malaikat pergi ke rumah Si Sopak dalam bentuk manusia. Malaikat itu bertanya kepada Si Sopak: "Apakah yang engkau inginkan?"

"Kulit yang halus dan sihat daripada penyakit ini. Aku juga inginkan unta agar aku boleh menternaknya nanti," kata Si Sopak.

Malaikat pun menyapu sekujur tubuh Si Sopak. Kulit Si Sopak pun berubah menjadi halus. Selepas itu, malaikat pun menyerahkan seekor unta yang sedang bunting kepada Si Sopak.

Malaikat seterusnya pergi ke rumah Si Botak pula. Si Botak sedang menyesali nasib dirinya yang malang. Kepalanya yang botak kelihatan berkilat.

"Apakah yang engkau inginkan, wahai Botak," tanya malaikat.

"Saya ingin sembuh daripada penyakit botak ini. Biarlah rambut yang halus dan lebat tumbuh. Aku juga inginkan lembu untuk dipelihara," kata Si Botak malu-malu.

Malaikat pun mengusap lembut kepala Si Botak. Dengan izin Allah, tumbuhlah rambut yang lebat. Wajahnya pula menjadi kacak. Malaikat pun menyerahkan seekor lembu betina bunting kepada Si Botak. Si Botak pun memeliharanya sehingga beranak pinak.

Kemudian malaikat pergi pula ke rumah Si Buta. Seperti dua saudaranya yang lain, malaikat bertanya apa yang Si Buta inginkan.

"Aku inginkan mataku yang buta ini disembuhkan oleh Allah. Maka dapatlah aku melihat saudara-saudaraku," kata Si Buta.

Malaikat pun mengusap mata Si Buta. Si Buta pun membuka mata dan alangkah terperanjatnya dia apabila dia sudah dapat melihat. Malaikat pun bertanya kekayaan apakah yang Si Buta inginkan, dan apabila Si Buta meminta kambing, malaikat juga menyerahkan seekor kambing yang sihat dan sedang bunting kepadanya.

Beberapa tahun kemudian, terkenallah ketiga-tiga orang bersaudara itu kerana kekayaan masing-masing. Ternakan mereka memenuhi ladang ternakan masing-masing.

Mereka sekarang sudah digelar Tuan Sopak, Tuan Botak dan Tuan Buta. Kekayaan mereka tersebar di kalangan Bani Israel.

Allah kemudian mengutuskan malaikat untuk turun ke bumi dalam rupa seorang pengemis. Mula-mula sekali, malaikat pergi ke rumah Tuan Sopak.

"Saya ini musafir yang miskin, tuan," kata malaikat. "Tiada bekal untuk pulang. Demi Allah yang mengurniakan paras yang indah dan harta yang banyak, berilah unta seekor kepada saya untuk teruskan perjalanan."

Tuan Sopak jijik melihat musafir di depannya itu. Maka dia pun berkata: "Aku harus menyelesaikan banyak hutang. Aku tidak boleh memberi apa-apa kepada kau.

"Moga Allah mengembalikan keadaan tuan yang asal," balas malaikat yang menyerupai pengemis itu.

Selepas malaikat tersebut beredar, Si Sopak menjadi seperti dahulu. Kulitnya kembali dijangkiti sopak. Ternakan untanya semakin hari semakin susut kerana mati. Akhirnya habislah semua harta kekayaannya.

Malaikat pergi menemui Tuan Botak pula untuk meminta sedekah, Tuan Botak memberi alasan yang sama dengan Tuan Sopak. Maka malaikat pun berdoa agar Allah menjadikan Tuan Botak seperti dulu.

Kepalanya pun menjadi botak kembali. Lembu Si Botak juga mati seekor demi seekor. Maka Si Botak pun kembali miskin.

Malaikat menemui Tuan Buta pula. Lelaki itu sentiasa bersyukur kepada Allah. Apabila malaikat meminta agar diberikan seekor kambing, Tuan Buta pun berkata: "Dulu aku seorang buta. Allah telah menyembuhkan mataku. Oleh itu, kau ambil mana-mana kambing yang engkau sukai untuk dibuat bekalmu."

Mendengar jawapan itu, malaikat pun berkata: "Jagalah hartamu baik-baik. Sebenarnya Allah hanya ingin mengujimu. Allah telah meredaimu, sedangkan saudara-saudaramu telah mendapat kemurkaan."

Si Buta pun menadah tangan lalu mengucapkan syukur

Sumber: Utusan Malaysia

Ulasan:

Walau pun kisah ini dah banyak kali diceritakan kepada masyarakat, namun, tidak ramai yang mengambil iktibar daripada “message” yang hendak disampaikan melalui kisah ini termasuklah diri sendiri. Sesungguhnya “bersyukur” itulah tanda – tanda seseorang itu beriman dan bertaqwa kepada Sang Pencipta yang Maha Esa dan Maha Berkuasa. Nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada hamba – Nya seharusnya di terima dengan nada sebagai seorang hamba, barulah nikmat yang diterima mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah S.W.T. Wallahua’lam.

Continue Reading

Sunday, July 18, 2010

Berbuat Baiklah Kepada Kedua Ibu Bapa

Posted by pSp at 11:34 PM 1 comments

Dua tiga hari ini, dada akhbar telah dikecohkan dengan isu bapa menyaman anak – anak mereka. Situasi ini menunjukkan keadaan yang semakin meruncing dalam institusi kekeluargaan di kalangan masyarakat Malaysia khususnya yang beragama Islam. Isu ini turut menggambarkan permasalahan akhlak di kalangan masyarakat Islam yang semakin meningkat dan tidak terkawal lagi.

Mereka yang bergelar ibu bapa sememangnya telah dianugerahi oleh Allah S.W.T dengan nikmat naluri kasih saying yang tinggi. Oleh itu, adalah menjadi fitrah bagi seorang ibu mahupun bapa menyayangi anak – anak mereka dengan sepenuh hati. Maka, apabila timbul cerita – cerita sedemikian rupa, telah memberi gambaran dan petanda awal kepada kita akan sesuatu perkara . Jarang kita akan mendengar seorang ayah sanggup melihat kesengsaraan anak – anaknya sama ada secara sengaja ataupun tidak (“unless” mereka yang tidak berpegang kepada agama Islam).

Kalau di baca dan di teliti pada kesemua cerita yang dipaparkan dalam akhbar berkenaan, tindakan bapa menyaman anak di dalam akhbar hanyalah berpunca daripada kezaliman yang telah dilakukan oleh anak – anak mereka. Faktor ini telah menjadi punca yang mendorong isu ini timbul muktakhir ini. Hari demi hari, semakin ramailah “Si Tanggang” versi moden yang telah muncul dan melakukan penderhakaan dalam bentuk yang berbagai - bagai. Ibu bapa hanyalah menjadi alatan untuk mereka mencapai kesenangan.

Kisah – kisah tragedi yang menimpa warga emas ini semakin melarat sehingga tidak terjangkau pemikiran manusia yang waras. Ibu bapa diperlakukan ibarat haiwan yang tidak berperasaan. Sesungguhnya, ramai anak – anak dewasa ini telah jauh melupakan perintah Allah S.W.T yang berulang – ulang kali di sebut di dalam Al – Quran. Firman Allah S.W.T dalam Al – Quran:

Surah Al – Baqarah, ayat 83 yang bermaksud;

Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil janji dari Bani Israil (yaitu): Janganlah kamu menyembah selain Allah, dan berbuat kebaikanlah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia, dirikanlah shalat dan tunaikanlah zakat. Kemudian kamu tidak memenuhi janji itu, kecuali sebahagian kecil daripada kamu, dan kamu selalu berpaling. [Al – Baqarah: 83]

Surah An – Nisaa’, ayat 36 yang bermaksud;

Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, dan teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri. [An – Nisaa’: 36]

Surah Al – An’aam, ayat 151 yang bermaksud;

Katakanlah: "Marilah kubacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu yaitu: janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua orang ibu bapa, dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu karena takut kemiskinan, Kami akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka, dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang nampak di antaranya mahupun yang tersembunyi, dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar." Demikian itu yang diperintahkan kepadamu supaya kamu memahami(nya). [Al – An’aam: 151]

Surah Luqman, ayat 14 yang bermaksud;

Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu- bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah- tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu. [Luqman: 14]

Surah Al – Israa’, ayat 23 yang bermaksud;

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil." [Al – Israa’: 23 – 24]

Kesemua perintah Allah S.W.T di dalam ayat – ayat Al –Quran ini telah menunjukkan kepada kita akan kewajipan melakukan kebaikkan kepada kedua – dua ibu bapa kita. Adalah tidak wajar bagi seseorang anak itu melukakan hati kedua – dua ibu bapa mereka dengan sengaja. Sikap kasih – sayang dan hormat – menghormati perlulah di pupuk di dalam sanubari agar sentiasa patuh melaksanakan perintah Allah S.W.T. Sesungguhnya syurga itu adalah milik Allah S.W.T dan tiadalah cara lain untuk kita memasuki ke dalam syurga melainkan dengan mentaati perintah – Nya agar sentiasa dirahmati Allah S.W.T.

p/s: Pesanan untuk diri sendiri dan juga rakan – rakan yang dikasihi sekalian semoga sama – sama mendapat manfaat dan keredhaan Allah S.W.T.

Dan semoga Allah S.W.T merahmati dan mengkasihani kedua – dua ibu bapaku sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil, Amin…..

Continue Reading

Monday, July 12, 2010

Kesibukkan

Posted by pSp at 9:28 PM 1 comments

Dunia pekerjaan banyak menyebabakan aku terleka dan lupa dengan perkara – perkara yang berlaku disekeliling.Kesibukkan yang dilalui selama 2 minggu yang sangat memenatkan telah menyebabkan aku kurang menigikuti perkembangan isu – isu semasa. Fokus lebih tertumpu dalam menyesuaikan diri dengan alam pekerjaan serta pencarian bilik sewa di sekitar area Kuala Lumpur. Sedar tak sedar, Piala Dunia Bola Sepak sudah pun berakhir yang telah menyaksikan Belanda tewas dalam pertemuan dengan Sepanyol.

Lebih teruk lagi, sedar tak sedar bulan Rejab sudah pun hampir meninggalkan aku. Walaupun masih sempat menghadiri dan mendengar beberapa ceramah dan tazkirah berkenaan penghayatan peristiwa “Israk dan Mikraj”, pemergian bulan Rejab kali ini merupakan satu kerugian dalam diri bila mana kurangnya penghayatan yang diambil pada kesempatan dalam bulan yang mulia ini.Mungkin ini adalah suatu pengajaran awal dalam mengenal dunia pekerjaan.

Pertamanya, perlu ada pembahagian masa antara perkara dunia dan perkara akhirat. Dalam kesibukkan mengejar kejayaan duniawi, kejayaan ukhrawi juga tidak boleh dilupakan. Kedua – duanya perlu seimbang agar kejayaan dapat di kecapi bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat. Yang kedua, walaubagaimana sibuk sekali pun dengan pekerjaan, kita perlulah sentiasa beringat bahawasanya pekerjaan yang dilakukan semuanya adalah kerana Allah S.W.T. Maka, pekerjaaan yang dilakukan kerana Allah S.W.T tidak seharusnya menjauhkan hubungan hamba dengan Pencipta.Sebaik – baiknya, pekerjaan yang dilakukan lebih mengingatkan diri kita kepada Allah S.W.T.

Yang terakhir, Allah S.W.T tidak akan membebankan hamba – hamba – Nya dengan suatu amanah dan tanggungjawab yang tidak mampu dipikul oleh mereka. Semua pemberian Allah S.W.T adalah semata – mata berdasarkan kemampuan masing – masing. Maka, alasan bahawasanya ketidak ada masa untuk menghayati kemulian bulan Rejab kali ini hanyalah kerana kelalaian serta kelemahan diri sendiri yang sentiasa leka dibuai arus keseronokkan dunia mahupun tipu daya syaitan. Wallahua’lam.

Continue Reading

Friday, June 18, 2010

Hentikanlah Budaya Meniru Barat

Posted by pSp at 3:07 PM 0 comments

Baru – baru ini di Malaysia heboh diperkatakan mengenai isu berkaitan ‘First Lady’ yang mengaitkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansur. Malahan dewan parlimen turut tidak terlepas dalam membahaskan isu remeh yang tidak sepatutnya timbul sekiranya seseorang itu memahami dan menghormati perlembagaan yang telah sedia ada (sila baca ulasan Prof. Dr. Aziz Bari).

Isu – isu begini sebenarnya timbul bila kita terlalu suka meniru apa yang dibawa oleh Barat itu. Pendek kata, Dunia Barat seolah – olah telah menjadi kiblat dalam hidup kita sebagai umat Islam. Tengok sahajalah keadaan muda – mudi di Malaysia khursusnya yang berbangsa Melayu, apa sahaja yang dibawa oleh Barat pasti disanjung sehingga hilang segala jati diri kita yang dibina berdasarkan agama dan adat Melayu.

Dalam dunia hiburan sebagai contoh, kita boleh melihat bagaimana remaja Islam terikut – ikut dengan rentak permainan Barat sehingga sanggup memuja dan menjadikan artis – artis sebagai idola dan contoh teladan dalam kehidupan seharian. Rasullah S.A.W yang menjadi contoh teladan terbaik sepanjang zaman di ketepikan. Nasihat ulama – ulama selalu sahaja diperlekehkan sehingga menjejaskan institusi agama di negara ini. Bertitik – tolak kepada budaya inilah, pada hari ini kita boleh melihat bagaimana rapuhnya institusi kekeluargaan orang – orang Melayu. Apa tidaknya sekiranya yang dijadikan contoh teladan juga adalah serapuh kaca, sekali di ketuk maka pecah berderailah ia jatuh ke tanah.

Orang – orang Melayu seharusnya sedar bahawasanya apa yang dibawa oleh Barat itu tidak semuanya benar dan boleh dijadikan contoh. Pemikiran yang kritis berpaksikan ajaran agama Islam perlulah digunakan dalam menilai setiap perkara yang dibawa oleh Barat. Mana – mana perkara yang baik seharusnya dijadikan teladan dan mana – mana yang buruk seharusnya dijadikan sempadan. Renungkanlah kata – kata ini, “Umat Islam Seharusnya Belajar daripada Barat dan Bukannya Meniru Barat”. Wallahua’lam.

Continue Reading

Wednesday, June 16, 2010

Dilemma Melayu: Budaya Hendonisme

Posted by pSp at 9:26 AM 3 comments

BUDAYA HENDONISME – Dari segi ‘pronunciation’ seakan – akan berkaitan dengan agama hindu tapi realitinya budaya ini diamalkan secara hebatnya oleh orang – orang Melayu yang rata – ratanya beragama Islam (walaupun masih ramai yang Islam hanya pada nama). Apakah yang dimaksudkan dengan budaya hendonisme?? Walaupun perkataan hendonisme hampir – hampir dengan perkataan Hindustan (aku pakai hentam jea, x tau la betul atau tidak), budaya hendonisme ini bukanlah sesuatu yang ada kena – mengena dengan agama hindu. Hendonisme menurut kamus dewan membawa maksud pegangan atau panduan hidup yang mementingkan keseronokkan atau kesenangan hidup. Justeru itu, secara ringkas dan mudahnya budaya hendonisme boleh disifatkan sebagi suatu budaya yang mementingkan keseronokkan (material) serta bersifat keterlaluan dalam mengejar hiburan yang bersifat duniawi semata – mata.

Hiburan adalah fitrah dalam diri manusia. Naluri manusia yang cenderung terhadap hiburan adalah sesuatu yang biasa dan normal. Menghubungkaitkan Bangsa Melayu dengan hiburan sememangnya tidak membawa kepada apa – apa kesalahan. Namun begitu, yang menjadi permasalahan disini apabila sikap orang Melayu itu sendiri yang gemar ‘berlebih – lebihan’ dalam mengejar hiburan. Hiburan yang tidak terkawal serta bersifat duniawi semata – mata akhirnya bukan sahaja telah membawa mereka kepada kancah kemaksiatan malahan juga telah membawa kepada pelbagai masalah yang lain seperti masalah keruntuhan akhlak, gejala sosial yang semakin teruk serta banyak lagi permasalahan yang timbul kesan daripada budaya hendonisme ini.

Di kaca TV, program – program yang bersifat hiburan semata – mata menjadi sajian utama masyarakat Malaysia. Rancangan realiti seperti mentor, akademi fantasia, one in millions, Malaysian Idol dan banyak lagi telah menjadi kewajipan bagi sesetengah rakyat Malaysia untuk ditontoni. Lebih memalukan, program – program ini lebih banyak disertai dan diikuti oleh masyarakat Melayu yang rata – ratanya beragama Islam. Daripada peserta hinggalah kepada penyokong dan penonton, kebanyakkan (boleh kata semua) disertai oleh masyarakat Melayu yang rata – ratanya beragama Islam. Kurangnya penglibatan masyarakat Cina dan India dalam program – program seperti ini menunjukkan ‘keIslamikan’ mereka secara tidak lansung.

Hasil kesan buruk yang dibawa oleh budaya ini, kita acapkali mendengar nasihat dan pandangan daripada mufti – mufti mahupun ustaz dan ustazah daripada jabatan agama di Malaysia yang melarang serta memperingatkan kita supaya tidak terjerumus kedalam dunia hiburan yang melampau –lampau. Malangnya, ‘respond’ yang kurang enak sering kedengaran daripada masyarakat Melayu itu sendiri apabila kehendak nafsu mereka dihalang. Akhirnya, kejahilan serta kebodohan diri sendiri dalam memahami agama Islam membawa penafsiran yang tidak benar terhadap ajaran Islam seperti kolot, kuno, jumud dan ketinggalan zaman.

Islam adalah agama fitrah bagi semua manusia. Sesuai sebagai agama fitrah, Islam tidak pernah melarang penganutnya daripada berhibur. Oleh itu, adalah menjadi kewajipan kita sebagai penganut agama Islam dalam menjaga batas – batas syariat sewaktu berhibur. Janganlah kita bersikap seperti kata pepatah Melayu “ sudah diberi betis hendakan peha pula”. Islam sememangnya membenarkan penganutnya untuk berhibur. Namun begitu, hiburan yang dilakukan haruslah selari dengan syariat dan perintah Allah serta tidak menjerumuskan diri kita terhadap kemaksiatan serta kelalaian kepada Allah S.W.T.

Contoh hiburan yang ditonjolkan oleh Kerajaan PAS Kelantan (Konsert Jom Heboh yang telah disaring dengan garis panduan yang sesuai dengan syariat Islam) tidak lama dahulu menjadi bukti tiadanya larangan dalam Islam terhadap hiburan, yang ada hanyalah adalah garis panduan agar manusia tidak ‘berlebih – lebihan’ serta bersikap ‘melampau – lampau’ dalam mencari hiburan sehingga menanggalkan imej Islam yang dibawa. Firman Allah S.W.T:

“Wahai anak cucu Adam! Pakailah pakaianmu yang bagus pada setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang berlebih – lebihan.” [Al – Araf: 31]

Firman Allah S.W.T:

“Wahai orang – orang yang beriman! Janganlah kamu mengharamkan apa yang baik yang telah dihalalkan Allah kepadamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” [Al – Maidah: 87]

Wallahua’lam.

Continue Reading

Tuesday, June 8, 2010

Keperluan Perpaduan Dalam Masyarakat Islam

Posted by pSp at 7:14 AM 1 comments

Kegagalan umat Islam di seluruh dunia dalam mengenal pasti kelemahan diri sendiri adalah punca berlakunya penindasan terhadap umat Islam secara berterusan oleh musuh – musuh Islam baik di Palestin mahupun di negara – negara lain seperti Bosnia, Chechnya dan Pattani. Berita serangan Zionis ke atas Kapal Mavi Marmara yang membawa segerombolan aktivis dan sukarelawan daripada pelbagai negara dalam misi bantuan keamanan ke atas rakyat Palestin baru – baru ini bukanlah suatu berita yang asing untuk didengari. Kalau disingkap kembali sejarah - sejarah umat Islam bermula daripada zaman kemerdekaan hingga ke hari ini, pelbagai peristiwa kekejaman terhadap umat Islam telah berlaku. Namun begitu, hasil daripada peristiwa dan perbuatan kejam yang berlaku ke atas orang – orang Islam ini hanyalah mampu dilawan dengan kencaman dan tekanan oleh negara – negara Islam.

Persoalannya adalah sampai bilakah kezaliman yang berlaku ke atas umat Islam hari ini mesti dilawan hanya dengan melalui kencaman dan tekanan??? Umat Islam perlu sedar, sudah sampai masanya untuk umat Islam bangkit dalam memperkasakan diri mereka sendiri demi memartabatkan agama Islam sebagai agama yang diredhai Allah S.W.T. Umat Islam perlu mengenal pasti akan punca kelemahan diri mereka sendiri yang telah membuka ruang musuh – musuh Islam dalam melakukan penindasan dan kezaliman terhadap umat Islam sendiri. Justifikasi terhadap kelemahan ini adalah penting bagi membolehkan proses pembaik pulihan berlaku ke atas umat Islam.

Belajar dari Sejarah

Perpaduan adalah perkara pokok yang perlu di beri perhatian dalam memperkasa umat Islam hari ini. Perselisihan, pergaduhan dan permusuhan yang berlaku dikalangan umat Islam perlu diselesaikan dan dihindari daripada terus menerus melemahkan umat Islam. Kalau di lihat kepada sejarah Tanah Melayu, proses penjajahan hanya berlaku bila mana hilangnya perpaduan dalam sesuatu kerajaan itu. Teori “divide and conquer” yang membawa maksud pecah dan perintah telah membuktikan kejayaan pihak penjajah seperti Potugis, Belanda dan British dalam menakluki sesuatu bangsa dan kerajaan suatu masa dahulu.

Kegagalan Kerajaan Melayu Johor dan Aceh dalam menakluki semula Melaka daripada Portugis adalah peristiwa yang perlu dijadikan iktibar bahawasanya perpecahan hanya membawa kepada kerugian. Walaupun mempunyai pegangan agama yang sama, namun begitu, ketidak bersatunya antara Kerajaan Johor dan Kerajaan Aceh telah membawa kepada perang tiga segi (Aceh – Johor – Portugis) yang akhirnya mengagalkan usaha kedua – dua kerajaan dalam merampas kembali Melaka daripada pihak Portugis. Usaha merampas semula Melaka pasti akan lebih berjaya sekiranya Kerajaan Johor dan Aceh sama – sama bersatu menentang pihak Portugis. Sikap perpecahan sebeginilah yang perlu dielakkan oleh pemimpin dan masyarakat negara – negara Islam dalam menghadapi kezaliman dan penindasan terhadap umat Islam oleh musuh – musuh Islam.

Kegagalan perjuangan tokoh – tokoh penentang penjajah seperti Dol Said, Tok Janggut, Hj. Abdul Rahman Limbong dan Mat Kilau yang bersifat setempat telah membuktikan kepentingan perpaduan. Bayangkan sekiranya penentangan yang berlaku adalah bersama, kebarangkalian untuk tokoh – tokoh perjuangan Tanah Melayu ini untuk berjaya adalah lebih tinggi. Kejayaan orang - orang Melayu dalam menentang penubuhan Gagasan Malayan Union suatu masa dahulu telah membuktikan keperluan perpaduan dalam masyarakat Islam di seluruh dunia. Melalui kerjasama dan kesatuan yang mantap diantara orang - orang Melayu pada ketika itu telah berjaya mendesak Kerajaan British membubarkan Malayan Union yang disifatkan sebagai suatu ancaman terhadap agama Islam dan sistem beraja di Tanah Melayu.

Perpecahan Membawa Kerugian

Perpecahan yang melanda di kebanyakkan negara – negara Islam pada hari ini telah melemahkan umat Islam yang suatu masa dahulu adalah suatu umat yang mempunyai tamadun yang hebat seperti Kerajaan Abbasiyah, Umaiyah dan Uthmaniyah. Kemusnahan dan kejatuhan negara Islam seperti Iraq dan Afghanistan adalah berpunca daripada perpecahan di kalangan umat Islam di negara tersebut. Kegagalan pertubuhan negara – negara Islam seperti OIC(Organization of the Islamic Conference) dan juga LIga Negara – negara Arab dalam menangani krisis dan isu yang melanda negara Palestin sejak sekian lamanya membuktikan ketidaksatuan antara negara – negara Islam. Walaupun dari segi ekonomi kebanyakkan negara – negara pengeluar minyak adalah di kalangan negara Islam, namun begitu kegagalan dalam mencapai kesepakatan bagi melakukan sekatan terhadap negara – negara yang menzalimi negara yang lain membuktikan ketidaksatuan hati antara negara – negara Islam yang akhirnya membawa kepada penindasan terhadap umat Islam di seluruh dunia secara berterusan.

Umat Islam seharusnya menjadikan Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W sebagai contoh teladan yang baik. Kejayaan Baginda S.A.W dalam menyatukan Bangsa Arab yang bersifat asabiyah melalui ajaran Islam yang mantap telah melahirkan bangsa yang hebat dan kuat dalam sejarah tamadun dunia. Kehebatan Bangsa Arab yang bersatu di bawah panji Islam telah mengangkat bangsa tersebut mengatasi Bangsa Rom dan Parsi yang terlebih dahulu muncul sebelum kedatangan Islam. Hubungan antara umat Islam yang terjalin diatas nama persaudaraan seharusnya mampu melahirkan umat yang bersatu – padu dan bukannya umat yang berpecah belah. Wallahua’lam.

P/s: Walaupun perpecahan bukanlah satu –satunya faktor yang menjadi punca kelemahan umat Islam di seluruh dunia pada hari ini, namun begitu isu berkaitan perpaduan di kalangan umat Islam adalah antara isu yang perlu diambil perhatian dan dipelihara agar kekuatan umat Islam dapat dipertingkatkan seterusnya dapat membantu masyarakat Islam dalam menghadapi cabaran musuh – musuh Islam.

Continue Reading

Sunday, May 16, 2010

Imej Yang Perlu Dijaga

Posted by pSp at 9:10 PM 2 comments