Kegagalan umat Islam di seluruh dunia dalam mengenal pasti kelemahan diri sendiri adalah punca berlakunya penindasan terhadap umat Islam secara berterusan oleh musuh – musuh Islam baik di Palestin mahupun di negara – negara lain seperti Bosnia, Chechnya dan Pattani. Berita serangan Zionis ke atas Kapal Mavi Marmara yang membawa segerombolan aktivis dan sukarelawan daripada pelbagai negara dalam misi bantuan keamanan ke atas rakyat Palestin baru – baru ini bukanlah suatu berita yang asing untuk didengari. Kalau disingkap kembali sejarah - sejarah umat Islam bermula daripada zaman kemerdekaan hingga ke hari ini, pelbagai peristiwa kekejaman terhadap umat Islam telah berlaku. Namun begitu, hasil daripada peristiwa dan perbuatan kejam yang berlaku ke atas orang – orang Islam ini hanyalah mampu dilawan dengan kencaman dan tekanan oleh negara – negara Islam.
Persoalannya adalah sampai bilakah kezaliman yang berlaku ke atas umat Islam hari ini mesti dilawan hanya dengan melalui kencaman dan tekanan??? Umat Islam perlu sedar, sudah sampai masanya untuk umat Islam bangkit dalam memperkasakan diri mereka sendiri demi memartabatkan agama Islam sebagai agama yang diredhai Allah S.W.T. Umat Islam perlu mengenal pasti akan punca kelemahan diri mereka sendiri yang telah membuka ruang musuh – musuh Islam dalam melakukan penindasan dan kezaliman terhadap umat Islam sendiri. Justifikasi terhadap kelemahan ini adalah penting bagi membolehkan proses pembaik pulihan berlaku ke atas umat Islam.
Belajar dari Sejarah
Perpaduan adalah perkara pokok yang perlu di beri perhatian dalam memperkasa umat Islam hari ini. Perselisihan, pergaduhan dan permusuhan yang berlaku dikalangan umat Islam perlu diselesaikan dan dihindari daripada terus menerus melemahkan umat Islam. Kalau di lihat kepada sejarah Tanah Melayu, proses penjajahan hanya berlaku bila mana hilangnya perpaduan dalam sesuatu kerajaan itu. Teori “divide and conquer” yang membawa maksud pecah dan perintah telah membuktikan kejayaan pihak penjajah seperti Potugis, Belanda dan British dalam menakluki sesuatu bangsa dan kerajaan suatu masa dahulu.
Kegagalan Kerajaan Melayu Johor dan Aceh dalam menakluki semula Melaka daripada Portugis adalah peristiwa yang perlu dijadikan iktibar bahawasanya perpecahan hanya membawa kepada kerugian. Walaupun mempunyai pegangan agama yang sama, namun begitu, ketidak bersatunya antara Kerajaan Johor dan Kerajaan Aceh telah membawa kepada perang tiga segi (Aceh – Johor – Portugis) yang akhirnya mengagalkan usaha kedua – dua kerajaan dalam merampas kembali Melaka daripada pihak Portugis. Usaha merampas semula Melaka pasti akan lebih berjaya sekiranya Kerajaan Johor dan Aceh sama – sama bersatu menentang pihak Portugis. Sikap perpecahan sebeginilah yang perlu dielakkan oleh pemimpin dan masyarakat negara – negara Islam dalam menghadapi kezaliman dan penindasan terhadap umat Islam oleh musuh – musuh Islam.
Kegagalan perjuangan tokoh – tokoh penentang penjajah seperti Dol Said, Tok Janggut, Hj. Abdul Rahman Limbong dan Mat Kilau yang bersifat setempat telah membuktikan kepentingan perpaduan. Bayangkan sekiranya penentangan yang berlaku adalah bersama, kebarangkalian untuk tokoh – tokoh perjuangan Tanah Melayu ini untuk berjaya adalah lebih tinggi. Kejayaan orang - orang Melayu dalam menentang penubuhan Gagasan Malayan Union suatu masa dahulu telah membuktikan keperluan perpaduan dalam masyarakat Islam di seluruh dunia. Melalui kerjasama dan kesatuan yang mantap diantara orang - orang Melayu pada ketika itu telah berjaya mendesak Kerajaan British membubarkan Malayan Union yang disifatkan sebagai suatu ancaman terhadap agama Islam dan sistem beraja di Tanah Melayu.
Perpecahan Membawa Kerugian
Perpecahan yang melanda di kebanyakkan negara – negara Islam pada hari ini telah melemahkan umat Islam yang suatu masa dahulu adalah suatu umat yang mempunyai tamadun yang hebat seperti Kerajaan Abbasiyah, Umaiyah dan Uthmaniyah. Kemusnahan dan kejatuhan negara Islam seperti Iraq dan Afghanistan adalah berpunca daripada perpecahan di kalangan umat Islam di negara tersebut. Kegagalan pertubuhan negara – negara Islam seperti OIC(Organization of the Islamic Conference) dan juga LIga Negara – negara Arab dalam menangani krisis dan isu yang melanda negara Palestin sejak sekian lamanya membuktikan ketidaksatuan antara negara – negara Islam. Walaupun dari segi ekonomi kebanyakkan negara – negara pengeluar minyak adalah di kalangan negara Islam, namun begitu kegagalan dalam mencapai kesepakatan bagi melakukan sekatan terhadap negara – negara yang menzalimi negara yang lain membuktikan ketidaksatuan hati antara negara – negara Islam yang akhirnya membawa kepada penindasan terhadap umat Islam di seluruh dunia secara berterusan.
Umat Islam seharusnya menjadikan Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W sebagai contoh teladan yang baik. Kejayaan Baginda S.A.W dalam menyatukan Bangsa Arab yang bersifat asabiyah melalui ajaran Islam yang mantap telah melahirkan bangsa yang hebat dan kuat dalam sejarah tamadun dunia. Kehebatan Bangsa Arab yang bersatu di bawah panji Islam telah mengangkat bangsa tersebut mengatasi Bangsa Rom dan Parsi yang terlebih dahulu muncul sebelum kedatangan Islam. Hubungan antara umat Islam yang terjalin diatas nama persaudaraan seharusnya mampu melahirkan umat yang bersatu – padu dan bukannya umat yang berpecah belah. Wallahua’lam.
P/s: Walaupun perpecahan bukanlah satu –satunya faktor yang menjadi punca kelemahan umat Islam di seluruh dunia pada hari ini, namun begitu isu berkaitan perpaduan di kalangan umat Islam adalah antara isu yang perlu diambil perhatian dan dipelihara agar kekuatan umat Islam dapat dipertingkatkan seterusnya dapat membantu masyarakat Islam dalam menghadapi cabaran musuh – musuh Islam.
1 comments to Keperluan Perpaduan Dalam Masyarakat Islam:
NUR ISMILDA AB AZIZ SAID:
Lirik bersatu- oleh raihan ini sedikit sebanyak dpt mewarnai n menyerikan lagi artikle keperluan perpaduan dalam masyarakat islam.
Menjadi harapan untukku menyaksikan
Umat yang bertuah ini kembali bersatu hati
Buangkan yang keruh ambillah yang jernih
Tiada yang lebih berharga selain dari perpaduan
Lupakanlah segala persengketaan
Hubungkan kembali tali persaudaraan
Kerna orang beriman itu bersaudara
Saling bertolong bantu berkasih mesra
Agar generasi kita di masa hadapan
Bangga dengan apa yang kita wariskan
Menjadi harapan untukku menyaksikan
Umat yang bertuah ini kembali bersatu hati
Bersatu kita teguh bercerai kita roboh
Yang berat sama dipikul
Yang ringan dijinjing sama
Sepakat membawa berkat asas hidup bermasyarakat
Amalkan hidup yang sihat selamat dunia akhirat
Lupakanlah segala persengketaan
Hubungkan kembali tali persaudaraan ( 2X )
Kerna orang beriman itu bersaudara
Saling bertolong bantu berkasih mesra
Agar generasi kita di masa hadapan
Bangga dengan apa yang kita wariskan
Post a Comment