Home | Posts RSS | Comments RSS | Login

Dulu Sekularisme…Lepas tu Liberalisme…Sekarang nie Pluralisme…

Friday, May 7, 2010

Umat Islam hari ini berdepan dengan pelbagai ancaman daripada golongan tertentu yang memusuhi agama Islam. Serangan demi serangan dilancarkan terhadap umat Islam pada hari ini oleh golongan yang memusuhi agama Islam. Serangan yang dilakukan terhadap umat Islam bukan sahaja dari segi fizikal semata – mata, bahkan mereka juga turut melancarkan serangan terhadap pemikiran umat Islam. Apa yang membimbangkan adalah serangan yang dilakukan terhadap pemikiran ini bertujuan untuk merosakan akidah umat Islam. Pelbagai cara dan helah yang telah digunakan oleh golongan ini bagi merosakan serta memesongkan akidah suci umat Islam yang menjadi sumber kekuatan bagi orang – orang Islam. Golongan ini sedar, umat Islam yang tidak memiliki akidah yang mantap adalah lebih mudah untuk ditundukkan serta ditewaskan. Sejarah sememangnya telah membuktikan kejayaan musuh – musuh Islam dalam mengalahkan pemerintahan Islam melalui serangan berbentuk pemikiran yang menyesatkan daripada ajaran Islam yang sebenar. Tanpa akidah yang kukuh, iman akan menjadi lemah dan akhirnya melahirkan generasi Islam yang lemah fizikal, mental dan rohani.

Pokok persoalan terhadap masalah ini sebenarnya berpunca daripada sikap umat Islam itu sendiri. Kegagalan umat Islam dalam memahami serta menguasai ilmu agama menjadikan umat Islam mudah terdedah terhadap suatu fahaman yang boleh memesongkan serta merosakan akidah mereka. Selain itu, kalau dilihat keadaan semasa di Malaysia ini, kecenderungan segelintir pihak yang gemar membahaskan serta menimbulkan persoalan – persoalan ranting dalam agama yang telah dibincangkan oleh ulama – ulama muktabar turut menyumbang kepada permasalahan ini. Umat Islam lebih tertumpu kepada persoalan cabang agama sedangkan persoalan pokok agama di ketepikan. Atas dasar inilah sehingga ke hari ini umat Islam masih lagi lemah dan sering ditindas oleh golongan – golongan yang memusuhi Islam.

Kalau dahulunya, kita sering dicanangkan dengan pemikiran berbentuk sekularisme dan liberalisme. Fahaman sekular yang telah memisahkan antara agama dan kehidupan telah lama menjadi corakan dalam sistem kehidupan di negara ini. Fahaman liberalism yang berkembang atas nama kemajuan dan pembangunan telah melahirkan golongan yang bersifat terbuka secara berlebih – lebihan dalam soal agama. Golongan ini cenderung menghalalkan perkara yang haram serta mengharamkan perkara yang halal. Kedua – dua fahaman ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi kehidupan kebanyakkan masyarakat Islam di negara ini yang akhirnya menjejaskan kesucian agama Islam itu sendiri.

Lebih parah lagi, hari ini kita sekali lagi telah dilanda oleh fahaman baru yang lebih dikenali sebagai fahaman pluralisme yang bertopengkan atas nama toleransi dalam agama. Namun begitu, tujuan utama fahaman ini hanyalah semata – mata untuk merosakan akidah umat Islam melalui konsep equalisme dan relativisme dalam agama yang membawa maksud bahawasanya setiap agama itu adalah sama dan setiap agama itu terbatas dan tidak sempurna yakni boleh jadi benar ataupun tidak.

Pada 1 Mei 2010 yang lepas, seminar yang bertajuk “Wacana Fahaman Pluralisme Agama dan Implikasinya Terhadap Masyarakat Islam” telah diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Seminar ini bertujuan untuk mendedahkan bentuk serangan fahaman pluralisme ini dalam agama Islam agar umat Islam dapat mengenali serta mempertahankan diri mereka daripada fahaman yang boleh merosakan akidah umat Islam. Berikut adalah kertas kerja yang telah dibentangkan dalam seminar tersebut oleh beberapa tokoh ilmuwan seperti Dr. Anis Malik Thoha, Dr. Uthman El – Muhammady, Dr. Mohd Farid Mohd Shahran dan Dr. Syamsuddin Arif. Klik pada tajuk di bawah untuk membaca dengan lebih lanjut mengenai fahaman Pluralisme:

“Ciri – ciri Fahaman Pluralisme Agama” oleh Dr. Anis Malik Thoha

“Beberapa Isu Dalam Pluralisme Agama” oleh Dr. Uthman El – Muhammady

“Akidah Islam Dan Fahaman Pluralisme Agama” oleh Dr. Mohd Farid Mohd Shahran

“Interfaith Dialogue: ‘Kuda Troy’ Dari Vatican?” oleh Dr. Syamsuddin Arif

P/s: Kita akan lebih mudah dijangkiti fahaman ini sekiranya kita tidak mengenalinya. Saranan aku agar pengunjung – pengunjung dapat meluangkan sedikit masa untuk membaca kertas kerja yang telah disampaikan dalam seminar tersebut. Wallahua’lam.

Gejala Balkanisasi Dalam Media

Saturday, May 1, 2010

Media adalah merupakan salah satu saluran informasi bagi setiap masyarakat. Media berperanan sebagai medium penyebaran maklumat berkenaan isu – isu atau berita – berita yang berkaitan dengan perihal luar dan dalam negara. Peranan yang dimainkan oleh media ini menjadikannya sebagai suatu aspek kehidupan yang sangat penting. Pepatah Melayu ada mengatakan “umpama katak di bawah tempurung”. Inilah yang akan terjadi sekiranya masyarakat hidup tanpa adanya media. Maklumat atau informasi berkenaan isu luar mahupun dalam negara tidak dapat di sampaikan kepada masyarakat dan ini boleh menjurus kepada keterbatutan pemikiran masyarakat Malaysia. Namun begitu, mutakhir ini media di negara Malaysia telah dilanda oleh suatu fenomena yang dikenali sebagai gejala balkanisasi. Kewujudan fenomena ini akan mencetuskan kebimbangan sekiranya tiada sekatan atau kawalan dalam mengatasinya.

Apakah yang dimaksudkan dengan gejala balkanisasi? Perkataan Balkan sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing dan pertama kali kedegaran dalam hidup kita. Sebagai umat Islam, kotak minda kita pasti tidak akan dapat melupakan mengenai peristiwa hitam yang melanda umat Islam yang menyaksikan satu episod genosid (pembunuhan etnik) secara besar – besaran dalam sejarah kemanusian yang berlaku ke atas umat Islam di Bosnia – Herzegovina. Daripada tragedi Balkan inilah lahirnya istilah “balkanisasi” yang wujud berasakan konsep yang diberikan kepada fenomena perpecahan di kalangan pelbagai etnik dan budaya di negara – negara Balkan yang membawa impak negatif dalam konteks kemanusian dan keharmonian sosiopolitik.

Bukti kewujudan fenomena ini dalam industri media di Malaysia sememangnya sudah tidak dapat dinafikan lagi. Kewujudan pelbagai jenis media cetak mahupun media electronik yang bersifat kepartian di pasaran boleh diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Akhbar seperti Suara Keadilan, Buletin Rakyat, Era Baru, Siasah, Harakah dan banyak lagi tabloid bersifat politik adalah contoh kewujudan fenomena balkanisasi di negara ini. Lebih membimbangkan lagi, akhbar perdana Malaysia seperti Utusan Malaysia dan juga Berita Harian yang condong kepada sesuatu parti jelas memburukan lagi keadaan ini. Hal ini kerana, apabila sesuatu akhbar itu condong terhadap sesuatu parti, maka akan lahirlah berita – berita atau cerita – cerita yang cenderung memburuk – burukan sesuatu parti atau kumpulan yang tidak sealiran dengan mereka.

Rakyat yang dimomokan dengan berita – berita sebegini akan cenderung membenci kepada sesuatu kumpulan yang tidak sependapat dengan mereka. Bayangkanlah, sikap membenci ini akan lebih ketara dan jelas apabila masyarakat ini hanya cenderung untuk membaca akhbar – akhbar yang menyokong sesuatu parti sahaja tanpa ada keinginan untuk mendengar penjelasan daripada akhbar yang condong terhadap parti lawan mereka. Keadaan ini akhirnya menjurus kepada lahirnya masyarakat berpuak – puak yang membenci antara satu dengan yang lain. Dr. Rahmat Ghazali melalui tulisan yang bertajuk “ Bahana Media Berpuak – puak” menjelaskan gejala balkanisasi media boleh menyebabkan rakyat menjadi kelompok – kelompok kecil yang taksub dan terasuk dengan suatu bentuk tingkah laku, sikap dan pemikiran genjot yang menyebabkan soal perpaduan di kalangan rakyat menjadi tidak releven.

Meskipun tidak menjadi kesalahan bagi setiap akhbar itu untuk menyuarakan suara politk mereka, perlu diingatkan bahawa amalan dan budaya benci – membenci yang ditonjolkan terhadap parti atau kumpulan yang tidak sealiran dengan mereka perlulah dikawal dan dielakkan. Kita perlu sedar bahawasanya budaya benci – membenci serta sikap taksub dan fanatik terhadap sesuatu parti atau kumpulan hanya akan membawa kepada perpecahan dalam masyarakat. Janganlah atas nama demokrasi (kebebasan) kita sanggup korbankan sesuatu yang berharga bagi sesebuah negara yakni perpaduan. Memetik kata – kata Dr. Rahmat Ghazali, “kebimbangan terhadap gejala ini bukanlah bermaksud bahawa kebebasan media hendaklah disekat tetapi lebih sebagai untuk saranan agar kebebasan media hendaklah disertai dengan etika kebertanggungjawaban dan professionalisme”. Media perlu jelas dengan setiap implikasi dan kesan daripada berita atau cerita yang dibawa terhadap masyarakat.

Akhbar perdana seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian pula perlu memainkan peranan mereka sebagai saluran informasi rakyat yang bersikap neutral bukan condong terhadap mana – mana parti bagi melahirkan generasi yang berfikiran kritis dan inovatif. Berita – berita politik yang disampaikan oleh akhbar perdana seharusnya bersifat pro-rakyat bukannya bersifat pro-kerajaan mahupun pro-pembangkang. Baik dan buruk parti kerajaan dan pembangkang itu seharusnya disampaikan secara neutral dan ilmiah agar masyarakat dapat membuat penilaian yang adil. Tindakan akhbar perdana yang cenderung terhadap suatu parti hanya akan merugikan anak – anak bangsa kita. Masyarakat yang mempunyai aliran yang berbeza dengan akhbar perdana semestinya akan memboikot akhbar perdana yang akhirnya mengelakan anak – anak remaja mereka daripada terdedah kepada ruangan – ruangan ilmiah yang disediakan seperti bicara agama, pendidikan, sains & teknologi serta kesihatan. Kesannya, fenomena ini hanya akan melemahkan daya pemikiran serta daya intelek generasi muda yang akhirnya akan membawa kerugian kepada negara.

Sejarah perpecahan terhadap negara Korea, Jerman (suatu masa dahulu) dan Yugoslavia yang berpunca daripada perbezaan ideologi, politik, agama serta kaum seharusnya menjadi contoh teladan dalam menangani gejala balkanisasi yang semakin meningkat di negara ini. Orang Melayu khususnya harus sedar bahawasanya perpaduan antara umat Islam adalah perkara pokok yang perlu dijaga dalam berpolitik. Jangan sampai sikap taksub dan fanatik terhadap sesuatu parti akhirnya membunuh perasaan kasih sayang kita terhadap saudara seIslam. Firman Allah S.W.T:

“Sesungguhnya orang – orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.” [Al–Hujurat: 10]

Wallahua’lam.

Politik yang baik seharusnya berdasarkan kepada intelektual yang berpandukan kepada prinsip – prinsip agama dan bukannya berdasarkan emosi semata – mata.

P/s: Tulisan ini adalah cetusan idea hasil daripada penulisan Dr. Rahmat Ghazali (Ketua Program Pengajian Siswazah dan Pascasiswazah, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM) yang bertajuk "Bahana Media Berpuak - puak" dalam Majalah Milenia keluaran Mei 2010.

Tak Utama Lebih Penting

Sunday, April 25, 2010

Post kali ini cuma nak berkongsi suatu artikel menarik oleh Mufti Kerajaan Negeri Perak Tan Sri Harussani Zakaria dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini. Bacalah dengan teliti mudah – mudahan kita mendapat manfaat bersama. Terdapat isi – isi penting yang telah di “highlight” untuk memudahkan lagi pemahaman artikel ini. Wallahua’lam.

Tak Utama Lebih Penting

Pada minggu lepas, saya berkesempatan menyampaikan ucaptama sempena Seminar Fiqh Awlawiyyat anjuran bersama Jabatan Agama Islam Perak dan Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Perak. Seminar tersebut memberi ruang kepada saya untuk menampilkan beberapa idea dan pendekatan yang telah lama saya uar-uarkan kepada masyarakat sebagai rujukan umat Islam seluruhnya.

Dalam hal ini, ulama tersohor Dr. Yusuf al-Qaradawi memberikan takrif Fiqh Awlawiyat sebagai "menetapkan sesuatu pada martabatnya, tidak mengkemudiankan apa yang perlu didahulukan atau mendahulukan apa yang berhak dikemudiankan, tidak mengecilkan perkara yang besar atau membesarkan perkara yang kecil."

Firman Allah S.WT. di dalam surah Al-Taubah ayat 19 mafhumnya:” Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.”

Ketika ini umat Islam telah hilang punca asas pertimbangan dalam menilai keutamaan daripada sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besarnya. Kehilangan punca bukan sahaja meliputi masyarakat umum, bahkan para cendiakawan dan cerdik pandai serta para pemimpin sendiri pun adakalanya menghadapi permasalahan dalam menentukan keutamaan sesuatu perkara.

Bagi para remaja contohnya lebih menekankan hal-hal berkaitan dengan sukan dan hiburan sebagai matlamat hidup mereka daripada mendahulukan diri dengan mengejar ilmu pengetahuan. Yang sepatutnya disanjung bukan lagi golongan ilmuwan atau intelek. Tetapi ahli sukan dan artis-artis diangkat dan dicontohi sebagai idola. Hari ini hiburan diutamakan daripada pendidikan. Lebih banyak majalah hiburan berbanding majalah yang mendidik masyarakat di pasaran. Begitu dengan program televisyen didominasi oleh rancangan hiburan yang menjadi sajian dan "makanan harian" yang dipertonton dan diprogramkan kepada masyarakat. Jika ada rancangan yang mendidik masyarakat ia tidak disiarkan pada waktu perdana, tetapi larut malam mahupun awal pagi. Islam tidak melarang hiburan, namun keutamaan hiburan tidak boleh dilebihkan daripada pendidikan sehingga masyarakat lalai dengan hiburan. Fenomena tersebut jelas membuktikan kejahilan masyarakat terhadap dimensi prioriti yang sedia ada dalam Islam.

Dalam amalan ibadat pula masyarakat kita masih sibuk membahaskan aspek khilafiah yang tidak akan berkesudahan. Dalam rancangan soal-jawab di radio yang dihadiri oleh saya, soalan-soalannya masih berkisar tentang masalah meninggalkan qunut, bidaah mengadakan tahlil, talqin yang merupakan masalah furu' dan khilafiah. Sedangkan kita berdepan dengan masalah riba yang terang-terang haram dalam kewangan dan insurans kita. Termasuk juga masalah perpecahan umat yang pada pengamatan saya perlu kepada usaha yang gigih terutamanya para umara dan ulama bagi menyatupadukan masyarakat Islam terutamanya umat Melayu.

Bijak pandai

Di kalangan bijak pandai tidak kurang juga berhadapan dengan kecelaruan pemikiran dalam memahami keutamaan sesuatu perkara. Bila saya menekuni isu-isu mutakhir ini termasuk kelulusan Kabinet terhadap penubuhan jawatankuasa antara agama, saya mengharapkan agar para ulama bersama-sama menyumbang idea dan pemikiran membantah penubuhan jawatankuasa tersebut. Akan tetapi pada masa yang sama kita disibukkan dengan boleh atau tidak meminum atau menyapu air ludah ustaz yang tidak pasti sama ada ia berlaku atau tidak. Secara prinsipnya, saya tidak menghalang aduan tersebut, namun ketika masyarakat Islam menghadapi tuntutan yang pelbagai yang dikhuatiri merendahkan martabat Islam, kita disibukkan dengan isu-isu yang bukannya tidak penting, akan tetapi ada lagi perkara yang lebih penting dari itu.

Begitu juga kita masih tertinggal di belakang terutama dalam menguasai segala jenis ilmu pengetahuan sains dan teknologi. Akhirnya disebabkan kejahilan kita dan kelemahan para ulama dan umara, maka Islam terus menerus lemah dan ketinggalan sehinggakan ruang yang diberikan Allah Taala dalam bidang fiqh seperti ijtihad dan hukum, terus beku serta hilangnya kedinamikan syariat Islam yang sebenarnya boleh melumpuhkan penyebaran Islam itu sendiri, seperti yang berlaku pada dunia Islam hari ini.

Dilihat dalam soal beribadah, masyarakat lebih menumpukan kepada ibadat sunat dari ibadat fardu. Manakala jka dilihat dari sudut berhubung dengan nilai-nilai kemasyarakatan pula, aspek fiqh keutamaan ini tidak mendapat tempat di hati masyarakat. Masyarakat kita lebih mementingkan ibadat fardu yang bersifat nafsi-nafsi semata-mata lantas meminggirkan konsep ibadat yang lebih global di luar ruang lingkup diri. Ibadat fardu yang berasaskan prinsip jemaah seperti hak-hak jiran, kemanusiaan dan kenegaraan yang masih terabai. Kumpulan diutamakan dari ummah, furu' diutamakan dari usul.

Melakukan perbandingan kepelbagaian konsep Masalih atau Manafi' di mana hakikat Masalih itu ada tingkatannya tersendiri yang meliputi konsep daruriyyat, hajiat dan tahsiniyyat. Melakukan perbandingan kepelbagaian konsep Mafasid atau Darar di mana hakikat Mafasid itu juga menyentuh tingkatannya yang meliputi konsep daruriyyat, hajiat dan tahsiniyyat. Melakukan perbandingan antara kepelbagaian Masalih dan Mafasid di mana keputusan yang diambil mengikut kadar yang lebih banyak dan majoriti kerana kadar majoriti boleh menentukan hukum bagi keseluruhan bahagian.

Justeru itu, suatu yang kurang penting tidak wajib dipentingkan. Apa yang wajar didahulukan hendaklah diketengahkan, suatu yang wajar dikemudiankan hendaklah dikemudiankan, perkara yang kecil tidak patut dibesar-besarkan, sementara perkara yang penting tidak wajar dipermudah-mudahkan. Dengan lain perkataan tiap-tiap suatu hendaklah diletakkan pada tempatnya secara berimbangan. Allah SWT. berfirman yang bermaksud:

“Dan Allah telah meninggikan langit dan meletakkan neraca keadilan, supaya kamu jangan melampaui batas tentang neraca itu, dan tegakkanlah timbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi neraca itu. (Surah al-Rahman: 7-9)”

Usah Biarkan Media Merosakkan Mentaliti Kita

Sunday, April 18, 2010

Semalam seorang rakan aku telah mengirim komen di Facebook mengenai iklan di Malaysia yang berunsur lucah. Walaupun perkara ini bukanlah suatu masalah yang baru berlaku di negara kita, isu ini seolah – olah dianggap sebagai isu terpencil oleh segelintir masyarakat kita. Lebih mendukacitakan, tiada tindakan daripada pihak berwajib mengenai masalah ini. Apakah perlu bagi setiap permasalahan yang timbul di Negara kita ini memerlukan teguran daripada rakyat dahulu sebelum apa – apa tindakan boleh diambil oleh pihak berwajib??Apakah pihak berwajib tidak mampu untuk berfikir yang mana intan dan yang mana kaca??

Seharusnya perkara ini tidak timbul kerana setiap perbuatan ataupun perkara yang dilakukan oleh kita seharusnya mencerminkan nilai – nilai keagamaan ataupun bangsa kita yang terkenal dengan budi pekerti yang baik. Namun begitu, apa yang berlaku hari ini telah memberi suatu gambaran kepada kita akan kesempitan pemikiran masyarakat Malaysia. Masyarakat Malaysia yang terlalu mengejar arus pemodenan barat hanyalah sekadar mampu memajukan diri sendiri dari segi fizikalnya sahaja sedangkan kemajuan mental masih ditakuk yang lama. Malahan tidak salah jika dikatakan bahawasanya nenek – moyang kita mempunyai mentaliti yang lebih tinggi berbanding dengan masyarakat kita hari ini.

Janganlah kita marah jika terdapat segelintir pihak yang melabel ataupun mengelaskan kita sebagai masyarakat yang mempunyai metaliti kelas ketiga sahaja kerana semuanya adalah berpunca daripada diri kita sendiri. Lihat sahajalah di Malaysia ini, bukan sahaja iklan – iklan mengandungi unsur –unsur lucah malahan kebanyakkan program – program di televisyen juga turut memaparkan tayangan yang berunsur seks, gossip dan juga misteri yang tidak memberi apa – apa faedah kepada masyarakat. Malahan kalau dilihat kepada majalah – majalah yang berada dipasaran sekarang juga lebih memfokuskan kepada cerita – cerita yang mengandungi unsur –unsur seks, gossip serta misteri semata – mata.

Lebih merisaukan lagi, akhbar – akhbar tempatan yang seharusnya menjadi tunjang dalam melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan juga tidak terlepas daripada menyiarkan cerita – cerita yang bersifat hiburan dan gossip semata – mata. Mungkin pada masa akan datang, ibu bapa bukan sahaja perlu mengawasi anak –anak dalam menonton rancangan televisyen, malahan mereka juga perlu mengawasi anak – anak mereka yang membaca akhbar tempatan agar tidak terpengaruh dengan unsur – unsur tidak baik yang terdapat di dalam akhbar tempatan. Bagaimana kita hendak melahirkan modal insan yang tinggi dalam masyarakat sekiranya permasalahan seperti ini dibiarkan terus berleluasa??

Masyarakat perlu sedar, untuk membangunkan modal insan memerlukan kepada ilmu pengetahuan yang luas, budi pekerti yang mulia, hemah yang tinggi, berjiwa besar, cintakan Negara dan mempunyai kekuatan jasmani dan kekuatan rohani. Semua ini tidak akan mampu dicapai sekiranya kita masih membiarkan pemikiran kita dipengaruhi oleh golongan tidak bertanggungjawab yang hanya memikirkan soal keuntungan walaupun terpaksa merosakkan anak bangsa sendiri. Masyarakat Malaysia harus bangkit dan sedar akan permasalahan yang berlaku dalam media kita hari ini. Kita jangan terlalu mengambil mudah dalam setiap perkara. Kawalan perlu dilakukan terhadap golongan remaja agar tidak terpengaruh dengan unsur – unsur negatif yang dipaprkan terhadap masyarakat tanpa ada sebarang sekatan. Pihak bertanggungjawab pula perlu peka dengan situasi semasa agar permasalahan seperti ini tidak berlaku yang akhirnya membawa kerosakkan terhadap bangsa sendiri. Wallahua’lam

Psikologi Islam – Pemikiran Ada 5 Sasaran

Wednesday, April 14, 2010

Wahai diri,

Sesungguhnya pemikiran itu ada 5 sasaran :

1. Berfikir tentang Bukti – bukti Kebesaran Allah S.W.T, hal ini dapat menimbulkan Tauhid dan Yaqin.

2. Berfikir tentangAnugerah – anugerah Allah S.W.T, hal ini dapat menumbuhkan Mahabbah dan Syukur.

3. Berfikir tentang Janji – janji Allah S.W.T, ia menumbuhkan kecintaan Hari Akhirat.

4. Berfikir tentang Ancaman Allah S.W.T, ia menimbulkan Rasa Gentar Bermaksiat.

5. Berfikir tentang Kekurangan Diri Sendiri Dalam Mengabdikan diri kepada Allah S.W.T, sedangkan terlalu banyak Allah telah memberi kebaikan kepadanya. Ini akan membuahkan Rasa Malu Terhadap Allah S.W.T.

Semoga engkau dapat memperbanyakkan fikiran seperti ini. Dan semoga masa yang masih tersisa tidaklah dibazirkan dengan memikir perkara yang tidak menguntungkan.

Sumber: Oleh Jom Faham berdasarkan rujukan Drs. H. Aliy As'ad. Nasha'ihul 'Ibad, Menara Kudus.

Mengapa Sifat Perikemanusian Semakin Menghilang??

Monday, April 12, 2010

‘Tidurkan’ Bayi Dalam Tong Sampah

12/04/2010

KUALA LUMPUR: Lagi kes pembuangan bayi berlaku, terbaru dengan penemuan mayat bayi lelaki dibungkus dengan surat khabar dan masih bertali pusat dipercayai baru dilahirkan di dalam tong sampah di Kampung Tanjung dekat Sungai Choh, Hulu Selangor, pagi semalam. Mayat bayi itu ditemui Mohd Kamil Enoh, 44, pekerja Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) ketika memulakan kerja hariannya di kawasan berkenaan, kira-kira jam 8 pagi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi, berkata mengikut keterangan pekerja MDPH itu, ketika mengangkat tong sampah ke dalam lori, satu plastik yang didalamnya dibalut dengan surat khabar jatuh berhampiran kakinya.

“Pekerja itu mengangkat bungkusan berkenaan yang disangkanya sampah, sebelum terkejut melihat sebelah kaki bayi yang terjuntai daripada balutan surat khabar dan membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Norel berkata, susulan maklumat diterima, pihaknya menghantar sepasukan anggota polis, termasuk unit forensik ke tempat kejadian dan mayat bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baru (HKKB) untuk bedah siasat.

Katanya, hasil pemeriksaan pihak hospital mendapati bayi itu berkemungkinan dilahirkan ketika berusia lapan bulan berdasarkan keadaannya yang cukup sifat.
“Polis tidak menolak kemungkinan suspek meletakkan bayi yang tidak berdosa itu dalam longgokan sampah lewat malam tadi (kelmarin) bagi mengelak dikesan penduduk di sekitar berdekatan.

“Polis percaya, bayi itu meninggal ketika proses kelahiran dan gerakan memburu suspek sedang giat dijalankan,” katanya mengesahkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran menyebabkan kematian.

Sementara itu, Mohd Kamil berkata mulanya beliau cemas melihat bungkusan berkenaan, namun memberanikan diri untuk membukanya.

"Mulanya saya nampak kaki bayi pada bahagian hujung bungkusan. Selepas dibuka keseluruhan pembalut itu, saya sebak dan menggigil. Bayi itu masih bertali pusat dibuang bersama urinya,” katanya ketika ditemui di kawasan itu.

Beliau kemudian meminta bantuan peniaga gerai nasi ayam bersebelahan tempat kejadian untuk menghubungi polis. –
Berita Harian

Ulasan Sedikit:

Sedih dan pilu rasa hati bila melihat gambar bayi ini semasa membeli surat khabar Berita Harian pagi tadi. Lidah yang biasa petah dalam memberi komen – komen terhadap berita di Malaysia ini menjadi kelu seketika. Sukar untuk menerima walaupun perkara ini bukanlah suatu yang baru berlaku di Negara ini. Tapi yang pasti, timbul suatu perasaan yang luar biasa dalam diri bila mana melihat gambar yang begitu menyayat hati.

Pelik dan hairan melihat tingkah laku manusia yang semakin hari semakin hilang sifat – sifat kemanusiaannya. Apakah tidak timbul sedikit pun perasaan belas kasihan dan kasih sayang terhadap bayi ini? Kemanakah hilangnya sifat – sifat perikemanusiaan dalam diri? Berapa ramai lagi bayi dan kanak –kanak yang harus menjadi mangsa kekejaman manusia yang bertopengkan syaitan ini?

Kalau diikutkan pada kemarahan diri ini, maka percayalah tidak habis untuk diperkatakan dalam ruangan blog ini. Cuma dikesempatan ini, marilah kita sama – sama mengambil ikhtibar agar kita tidak sama – sama terjerumus ke dalam kancah dosa ini. Cuba Tanya kepada diri kita sendiri, apakah penyebab utamanya berlaku perkara – perkara seperti ini dalam masyarakat kita hari ini?

Mungkin pelbagai alasan boleh diberikan bagi menjawab persoalan ini. Namun begitu, apa yang pasti adalah kebanyakkan masyarakat Islam khususnya orang Melayu pada hari ini sudah semakin jauh dengan Pencipta mereka. Mereka sudah mula tidak mengenali Tuhan mereka yang mencipta alam semesta ini dan sekalian mahluknya.

Semakin jauh manusia dengan Penciptanya, maka semakin terpesonglah kehidupan dan jalan yang dilaluinya. Dosa dan pahala tidak lagi menjadi persoalan dalam kehidupan seharian. Nikmat yang diberikan oleh Allah tidak lagi dijaga dan digunakan dengan sebaik – baiknya. Yang di patuhi hanyalah godaan nafsu dan tipu daya syaitan semata – mata. Wallahua’lam.

Pelik juga bila tengok gambar - gambar bayi yang comel macam ini pun masih ada orang sanggup bunuh lagi, entahla....1000x fikir pun rasa macam x logik

Apabila Nafsu Menjadi Raja

Friday, April 9, 2010

Apabila NAFSU menjadi RAJA,

ALLAH S.W.T tidak dikenali, NABI MUHAMMAD S.A.W tidak dikasihi.

Apabila NAFSU menjadi RAJA,

AGAMA ditinggalkan, KESERONOKKAN dicari.

Apabila NAFSU menjadi RAJA,

AL – QURAN bukan panduan, SUNNAH bukan ikutan.

Apabila NAFSU menjadi RAJA,

SYAITAN menjadi teladan, kejahatan menjadi kebaikan.

Apabila NAFSU menjadi RAJA,

ULAMA diketepikan, kebaikan menjadi kejahatan.

Inilah manusia apabila dikuasai oleh NAFSU,

DOSA dan PAHALA tidak akan diendahakan,

HIDUP dan MATI bukan kerana ALLAH S.W.T,

Yang dicari hanyalah Keseronokkan DUNIA yangSEMENTARA,

Sedangkan AKHIRAT yang ABADI diabaikan….

Posted by pSp at 6:25 PM 0 comments

Continue Reading

Saturday, May 1, 2010

Gejala Balkanisasi Dalam Media

Posted by pSp at 6:42 PM 0 comments

Posted by pSp at 11:55 AM 4 comments

Posted by pSp at 11:46 AM 3 comments

Posted by pSp at 8:30 AM 1 comments

Wahai diri,

Sesungguhnya pemikiran itu ada 5 sasaran :

1. Berfikir tentang Bukti – bukti Kebesaran Allah S.W.T, hal ini dapat menimbulkan Tauhid dan Yaqin.

2. Berfikir tentangAnugerah – anugerah Allah S.W.T, hal ini dapat menumbuhkan Mahabbah dan Syukur.

3. Berfikir tentang Janji – janji Allah S.W.T, ia menumbuhkan kecintaan Hari Akhirat.

4. Berfikir tentang Ancaman Allah S.W.T, ia menimbulkan Rasa Gentar Bermaksiat.

5. Berfikir tentang Kekurangan Diri Sendiri Dalam Mengabdikan diri kepada Allah S.W.T, sedangkan terlalu banyak Allah telah memberi kebaikan kepadanya. Ini akan membuahkan Rasa Malu Terhadap Allah S.W.T.

Semoga engkau dapat memperbanyakkan fikiran seperti ini. Dan semoga masa yang masih tersisa tidaklah dibazirkan dengan memikir perkara yang tidak menguntungkan.

Sumber: Oleh Jom Faham berdasarkan rujukan Drs. H. Aliy As'ad. Nasha'ihul 'Ibad, Menara Kudus.

Continue Reading

Monday, April 12, 2010

Mengapa Sifat Perikemanusian Semakin Menghilang??

Posted by pSp at 10:07 PM 1 comments

‘Tidurkan’ Bayi Dalam Tong Sampah

12/04/2010

KUALA LUMPUR: Lagi kes pembuangan bayi berlaku, terbaru dengan penemuan mayat bayi lelaki dibungkus dengan surat khabar dan masih bertali pusat dipercayai baru dilahirkan di dalam tong sampah di Kampung Tanjung dekat Sungai Choh, Hulu Selangor, pagi semalam. Mayat bayi itu ditemui Mohd Kamil Enoh, 44, pekerja Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) ketika memulakan kerja hariannya di kawasan berkenaan, kira-kira jam 8 pagi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi, berkata mengikut keterangan pekerja MDPH itu, ketika mengangkat tong sampah ke dalam lori, satu plastik yang didalamnya dibalut dengan surat khabar jatuh berhampiran kakinya.

“Pekerja itu mengangkat bungkusan berkenaan yang disangkanya sampah, sebelum terkejut melihat sebelah kaki bayi yang terjuntai daripada balutan surat khabar dan membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Norel berkata, susulan maklumat diterima, pihaknya menghantar sepasukan anggota polis, termasuk unit forensik ke tempat kejadian dan mayat bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baru (HKKB) untuk bedah siasat.

Katanya, hasil pemeriksaan pihak hospital mendapati bayi itu berkemungkinan dilahirkan ketika berusia lapan bulan berdasarkan keadaannya yang cukup sifat.
“Polis tidak menolak kemungkinan suspek meletakkan bayi yang tidak berdosa itu dalam longgokan sampah lewat malam tadi (kelmarin) bagi mengelak dikesan penduduk di sekitar berdekatan.

“Polis percaya, bayi itu meninggal ketika proses kelahiran dan gerakan memburu suspek sedang giat dijalankan,” katanya mengesahkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran menyebabkan kematian.

Sementara itu, Mohd Kamil berkata mulanya beliau cemas melihat bungkusan berkenaan, namun memberanikan diri untuk membukanya.

"Mulanya saya nampak kaki bayi pada bahagian hujung bungkusan. Selepas dibuka keseluruhan pembalut itu, saya sebak dan menggigil. Bayi itu masih bertali pusat dibuang bersama urinya,” katanya ketika ditemui di kawasan itu.

Beliau kemudian meminta bantuan peniaga gerai nasi ayam bersebelahan tempat kejadian untuk menghubungi polis. –
Berita Harian

Ulasan Sedikit:

Sedih dan pilu rasa hati bila melihat gambar bayi ini semasa membeli surat khabar Berita Harian pagi tadi. Lidah yang biasa petah dalam memberi komen – komen terhadap berita di Malaysia ini menjadi kelu seketika. Sukar untuk menerima walaupun perkara ini bukanlah suatu yang baru berlaku di Negara ini. Tapi yang pasti, timbul suatu perasaan yang luar biasa dalam diri bila mana melihat gambar yang begitu menyayat hati.

Pelik dan hairan melihat tingkah laku manusia yang semakin hari semakin hilang sifat – sifat kemanusiaannya. Apakah tidak timbul sedikit pun perasaan belas kasihan dan kasih sayang terhadap bayi ini? Kemanakah hilangnya sifat – sifat perikemanusiaan dalam diri? Berapa ramai lagi bayi dan kanak –kanak yang harus menjadi mangsa kekejaman manusia yang bertopengkan syaitan ini?

Kalau diikutkan pada kemarahan diri ini, maka percayalah tidak habis untuk diperkatakan dalam ruangan blog ini. Cuma dikesempatan ini, marilah kita sama – sama mengambil ikhtibar agar kita tidak sama – sama terjerumus ke dalam kancah dosa ini. Cuba Tanya kepada diri kita sendiri, apakah penyebab utamanya berlaku perkara – perkara seperti ini dalam masyarakat kita hari ini?

Mungkin pelbagai alasan boleh diberikan bagi menjawab persoalan ini. Namun begitu, apa yang pasti adalah kebanyakkan masyarakat Islam khususnya orang Melayu pada hari ini sudah semakin jauh dengan Pencipta mereka. Mereka sudah mula tidak mengenali Tuhan mereka yang mencipta alam semesta ini dan sekalian mahluknya.

Semakin jauh manusia dengan Penciptanya, maka semakin terpesonglah kehidupan dan jalan yang dilaluinya. Dosa dan pahala tidak lagi menjadi persoalan dalam kehidupan seharian. Nikmat yang diberikan oleh Allah tidak lagi dijaga dan digunakan dengan sebaik – baiknya. Yang di patuhi hanyalah godaan nafsu dan tipu daya syaitan semata – mata. Wallahua’lam.

Pelik juga bila tengok gambar - gambar bayi yang comel macam ini pun masih ada orang sanggup bunuh lagi, entahla....1000x fikir pun rasa macam x logik
Continue Reading

Friday, April 9, 2010

Apabila Nafsu Menjadi Raja

Posted by pSp at 11:16 PM 1 comments