
Sudah genap seminggu hari ini aku berada di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan bagi menyempurnakan praktikal yang masih berbaki 3 minggu lagi sebelum boleh menduduki peperiksaan Lembaga Jururawat Malaysia bagi mendapatkan lesen sebelum boleh mula bekerja sebagai seorang jururawat. Walau bagaimanapun, posting blog kali ini bukanlah bertujuan untuk menceritakan pengalaman praktikal di HUSM, tetapi cuma hendak berkongsi kata – kata daripada Penolong Pengarah HUSM sewaktu sesi orientasi yang mengetuk minda aku untuk berfikir. Banyak perkara yang diperkatakan oleh Penolong Pengarah HUSM sewaktu sesi orientasi tersebut, namun begitu apa yang ingin di kongsikan disini adalah berkenaan isu menjaga imej. Walaupun perbincangan pada sesi tersebut adalah berkisarkan kepada penjaga imej dari segi nama baik universiti dan nama baik jurusan kejururawat, isu yang mengetuk minda aku ketika perkataan itu lebih berkisarkan kepada soal menjaga imej agama.
Imej Islam hari ini dilihat semakin tercalar dengan pelbagai serangan yang dilakukan oleh pihak Barat dalam usaha mereka memburuk - burukan Imej Islam sebagai agama yang suci. Antaranya ialah dengan melabelkan Islam sebagai agama yang menaja “terrorisme” yang berpaksikan kepada konsep keganasan. Malahan, ahli – ahli sejarah dan orientalis Barat turut melabelkan agama Islam sebuah agama peperangan yang disebarkan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W melalui mata pedang semata – mata tanpa sebarang pemahaman yang adil terhadap peristiwa – peristiwa peperangan yang muncul di zaman Baginda S.A.W. Malahan golongan ini turut juga memfitnah agama Islam sebagai sebuah agama yang melakukan penindasan terhadap kaum wanita sehingga timbul golongan – golongan Liberal seperti Sister in Islam (SIS) yang kononya memperjuangkan hak – hak kaum wanita yang ditindas oleh agama Islam. Semua gambaran yang diberikan oleh media massa barat ini bertujuan untuk melahirkan perasaan takut dan benci pada agama Islam yang di panggil “Islamophobia” yang akhirnya menjauhkan masyarakat dunia daripada mendekati agama Islam.
Lebih malang lagi, hari ini kita boleh melihat bagaimana imej agama Islam itu dikotori oleh sesetengah penganut agama Islam itu sendiri yang gagal menunjukkan serta menerapkan amalan – amalan yang berpandukan agama Islam yang sebenar. Di negara Malaysia khususnya, amalan - amalan seperti pergaduhan, penipuan, rasuah, pecah amanah dan sebagainya mewarnai kehidupan masyarakat Islam khususnya orang – orang Melayu. Malahan isu sebegini menjadi perkara biasa di kalangan pemimpin – pemimpin negara. Begitu juga dengan masalah sosial yang melanda di negara ini juga tidak kurang hebatnya berlaku di kalangan masyarakat Islam khususnya orang Melayu. Masalah rempit, dadah, bohsia, zina, buang anak dan sebagainya semuanya adalah didominasikan oleh orang – orang Melayu. Apa yang mengecewakan adalah, sikap tidak bertanggungjawab dan amanah sesetengah individu ini akhirnya merosakan imej agama Islam yang suci.
Imej buruk yang ditonjolkan oleh masyarakat Islam kepada penganut lain menjadikan kesucian agama Islam itu tercalar. Masyarakat yang bukan beragama Islam sering memandang serong kepada umat Islam dan juga agama Islam itu sendiri. Malahan, masalah – masalah ini telah membuka ruang dikalangan musuh – musuh Islam dalam rancangan mereka untuk memburuk – burukan sertan menjatuhkan kesucian agama Islam. Kalau dikaji semula, tamadun Islam menjadi semakin lemah bukan hanya disebabkan oleh golonagn yang memusuhi Islam akan tetapi juga disebabkan oleh umat Islam itu sendiri. Kelemahan umat Islam hari ini bukanlah disebabkan oleh ajaran agama Islam itu tetapi lebih kepada masyarakat Islam itu sendiri yang gagal dalam memartabatkan agama panutan mereka.
Islam itu adalah agama sejahtera dan agama damai. Umat yang mengikuti ajaran Islam yang sebenar mempunyai kualiti akhlak dan etika yang tinggi. Namun begitu, Islam sebagai agama yang baik kadang – kadang tercermin dalam ikatan bangsa dan budaya yang merosakan. Maruah bangsa, adat dan budaya yang sering diangkat melebihi martabat agama menjadi faktor perosak dalam perjuangan mengangkat agama Islam. Islam seharusnya menjadi matlamat hidup setiap manusia. Bangsa, budaya dan adat perlulah dicorak mengikut ajaran yang telah ditetapkan oleh Islam dan bukannya agama Islam itu yang perlu dicorakan mengikut bangsa, budaya dan adat. Perlulah menjadi kesedaran dalam diri kita bahawasanya tidaklah sesuatu bangsa itu diangakat menjadi mulia oleh Allah S..W.T melainkan bangsa yang menjadikan agama Islam sebagai panutan dan ikutan dengan sebenar – benarnya. Wallahua’lam.
